Selasa, 28 Julai 2015 | 8:55am

Teknik, vokasional jaya matlamat negara maju

Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan menetapkan sasaran 20 peratus enrolmen menengah atas dalam pendidikan vokasional menjelang akhir tahun 2020.

Ia selaras anggaran sekurang-kurangnya 46 peratus pekerjaan tambahan yang akan diwujudkan memerlukan kelayakan bidang teknik dan vokasional, sekali gus menjayakan matlamat menjadi negara maju berpendapatan tinggi.

Justeru, peluasan pendidikan teknikal dan vokasional adalah mekanisme bagi kementerian untuk meningkatkan akses kepada pendidikan, terutama bagi murid yang cenderung ke arah pendidikan berasaskan kemahiran.

Program Transformasi Pendidikan Vokasional meliputi pengenalan Pendidikan Asas Vokasional (PAV) dan menaik taraf Sekolah Menengah Vokasional (SMV) kepada Kolej Vokasional (KV), selain merangkumi semakan menyeluruh kurikulum, mengguna pakai kaedah penilaian dan pentaksiran baharu, meningkatkan kemahiran guru serta mengukuhkan jaringan kerjasama dengan industri.

Transformasi minda rakyat

Program Transformasi Pendidikan Vokasional yang dilancarkan pada tahun 2012 berjaya mentransformasikan minda rakyat untuk mengiktiraf pendidikan vokasional sebagai satu daripada penyumbang utama kepada pembangunan negara.

PAV ditawarkan kepada pelajar berusia antara 13 tahun hingga 15 tahun bermula pada tahun 2012 dengan penyertaan 15 sekolah menengah (SM) kini diperluaskan di 81 SM seluruh negara.

Tahun lalu, enrolmen bagi PAV meningkat sebanyak 14 peratus atau pertambahan sebanyak 240 murid menjadikan jumlah keseluruhan seramai 1,961 orang.

Sebanyak 345 murid daripada kohort pertama PAV menamatkan program berkenaan tahun lalu dan daripada jumlah itu, sebanyak 60 peratus berjaya mendapat Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 2, manakala selebihnya mendapat SKM Tahap 1.

Lepasan PAV boleh menyambung pendidikan dan latihan vokasional di KV, Institut Latihan Kemahiran Awam (ILKA) dan Institut Latihan Kemahiran Swasta (ILKS).

Bagi memenuhi keperluan murid menengah atas yang cenderung ke arah pendidikan dan latihan vokasional, 15 KV diwujudkan pada tahun 2012 dan jumlah itu meningkat kepada 80 buah di seluruh negara menerusi dua jenis program vokasional iaitu Program Diploma Vokasional Malaysia (DVM) dan Program Sijil Kemahiran Malaysia (SKM)/Perantisan.

"Pada tahun 2014, terdapat tambahan sebanyak 2,579 murid ditaja untuk mengikuti program di ILKA dan 1,300 orang di ILKS, berbanding 435 murid di ILKA dan 450 murid (ILKS) pada tahun sebelumnya," menurut laporan itu.

Berita Harian X