Ahad, 19 Julai 2015 | 4:22pm

Kabinet Sarawak lulus penubuhan Jawatankuasa Minyak dan Gas

MENTERI Menteri Muda Pembangunan Perindustrian (Pelaburan dan Promosi), Datuk Julaihi Narawi. - Foto Jeakqleyn Yacho
MENTERI Menteri Muda Pembangunan Perindustrian (Pelaburan dan Promosi), Datuk Julaihi Narawi. - Foto Jeakqleyn Yacho

KUCHING: Kabinet negeri meluluskan penubuhan Jawatankuasa Minyak dan Gas Sarawak pada mesyuaratnya Jun lalu, kata Menteri Menteri Muda Pembangunan Perindustrian (Pelaburan dan Promosi), Datuk Julaihi Narawi.

Beliau berkata, jawatankuasa itu yang dipengerusikan Menteri Pembangunan Perindustrian, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, dijangka mengadakan mesyuarat pertamanya dalam masa terdekat.

"Antara tugas utama jawatankuasa ini ialah melakukan pemantauan tentang penglibatan usahawan dan syarikat dari Sarawak dalam sektor minyak dan gas. Ia juga akan mengenal pasti peluang yang perlu kita ketengahkan kepada kerajaan negeri untuk tindakan lanjut.

"Maklumat terperinci mengenai jawatankuasa itu akan diumumkan oleh Menteri Pembangunan Perindustrian selaku pengerusi jawatankuasa," katanya pada majlis rumah terbuka Aidilfitri di kediamannya di sini, hari ini.

Jawatankuasa itu akan dianggotai wakil daripada kementerian, Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan swasta.

Julaihi berkata, mesyuarat sama turut meluluskan penubuhan Unit Minyak dan Gas di Kementerian Pembangunan Perindustrian.

"Kita sedang mengenal pasti pegawai-pegawai yang berpengalaman untuk dibawa masuk dalam unit baharu ini," katanya.

Kementerian Pembangunan Perindustrian Sarawak ditubuhkan pada 1987 bagi menerajui pembangunan sektor perindustrian negeri ini.

Kementerian itu bertanggungjawab untuk mempromosi, menyelaraskan dan melaksanakan kegiatan pembangunan perindustrian di Sarawak.

- BERNAMA

Berita Harian X