Ahad, 19 Julai 2015 | 11:52am

Operasi cari mangsa terakhir bot karam disambung

OPERASI mencari dan menyelamat mangsa terakhir dalam kejadian bot karam di Tanjong Karang, disambung semula 9 pagi ini. - Foto Faiz Anuar
OPERASI mencari dan menyelamat mangsa terakhir dalam kejadian bot karam di Tanjong Karang, disambung semula 9 pagi ini. - Foto Faiz Anuar

TANJONG KARANG: Operasi mencari dan menyelamat mangsa terakhir dalam kejadian bot karam kira-kira dua batu nautika dari pantai Bagan Sungai Kajang di sini Khamis lalu, disambung semula 9 pagi ini.

Penolong Pengarah Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul ketika dihubungi Bernama berkata gerakan mencari mangsa itu, yang dikenal pasti sebagai G Shankar, sedang giat dijalankan dengan bantuan pasukan penyelamat lain.

Bot itu yang dinaiki 14 orang terdiri daripada sembilan anggota keluarga dan lima pekerja bot, berlepas dari jeti nelayan Sungai Kajang pada 3 petang bagi melakukan upacara membuang abu mayat.

Bot itu dikatakan bocor dan kesemua mangsa saling menimba air sebelum ia dilapor karam semasa dalam perjalanan pulang kira-kira dua jam kemudian.

Enam mayat ditemui setakat ini dikenal pasti sebagai A Parianathan, 30, yang berasal dari Taman Aman Sekinchan, Selangor, A Muniamah, 49; K Logaraj, 29; M Gnaswdree, 59; G Jaya Sangari, 27 dan M Kunasegaran, 57, kesemuanya berasal dari Sungai Buloh, Kuala Selangor.

Tujuh lagi yang terselamat ialah P Alumalai, M Sugamaran, V Nagaswari, N Sanmugan, C Sabtayan, C Sundraja dan S Partiven.

Mereka diselamatkan oleh nelayan tempatan.

- BERNAMA

Berita Harian X