Sabtu, 18 Julai 2015 | 12:49pm

Operasi cari dua mangsa bot karam diteruskan

LOKASI kejadian bot karam kira-kira dua batu nautika dari pantai Bagan Sungai Kajang. - Foto BERNAMA
LOKASI kejadian bot karam kira-kira dua batu nautika dari pantai Bagan Sungai Kajang. - Foto BERNAMA

TANJONG KARANG: Operasi mencari dan menyelamat dua lagi mangsa yang hilang dalam kejadian bot karam kira-kira dua batu nautika dari pantai Bagan Sungai Kajang di sini, Khamis lalu, bermula kira-kira 9 pagi ini.

Penolong Pengarah Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul ketika dihubungi Bernama berkata operasi bermula dengan bantuan dua bot bomba dan masing-masing sebuah bot Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan nelayan.

"Kesemua bot membuat pencarian di lokasi mangsa dipercayai lemas," katanya.

Dua lagi yang hilang dikenali sebagai A Parianathan dan G Shankar.

Bot itu yang dinaiki 14 orang terdiri daripada sembilan anggota keluarga dan lima pekerja bot berlepas dari jeti nelayan Sungai Kajang pada 3 petang Khamis lepas bagi melakukan upacara membuang abu mayat.

Dua jam kemudian ia dilapor karam semasa dalam perjalanan pulang.

Lima mayat ditemukan setakat ini iaitu A Muniamah, 49; K Logaraj, 29; M Gnaswdree, 59; G Jaya Sangari, 27, dan M Kunasegaran, 57, kesemuanya berasal dari Sungai Buluh, Kuala Selangor.

Sementara tujuh lagi dikenal pasti sebagai P Alumalai; M Sugamaran; V Nagaswari; N Sanmugan; C Sabtayan; C Sundraja dan S Partiven diselamatkan bot nelayan tempatan.

Bot itu dikatakan mengalami kebocoran dan kesemua mangsa menimba air sebelum ia tenggelam dipukul ombak.

- BERNAMA

Berita Harian X