Rabu, 15 Julai 2015 | 10:01am

MyCare salur bantuan RM734,290 kepada pelarian Palestin, Syria

KUALA LUMPUR: Humanitarian Care Malaysia (MyCare) menyalurkan sumbangan rakyat Malaysia berjumlah RM734,290 kepada pelarian Palestin dan Syria di Lubnan sempena bulan Ramadan.

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah MyCare, Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor, berkata sebanyak RM203,800 diberikan kepada Pusat Kesihatan al-Inayah, Hamzah dan Burj el Shemali yang juga sumbangan rakyat Malaysia melalui pasar raya Econsave Cash and Carry.

Sementara RM100,000 yang disumbangkan kepada Rayuan Ramadan Pertubuhan IKRAM Malaysia disampaikan kepada keluarga pelarian Syria di Lubnan, katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dr Hafidzi berkata, mereka juga turut menyampaikan bantuan Ramadan berupa iftar, pek makanan dan pakaian hari raya yang bernilai RM410,000 kepada pelarian Palestin dan Syria di 10 lokasi termasuk Kem Burj El-Barajna dan Kem Shatilla di Beirut.

Mereka juga memberi bantuan pengurusan kem dan kos perubatan sebanyak RM11,800 sumbangan IKRAM Health turut disampaikan kepada empat pesakit kronik di Kem Beeka.

"Bantuan RM10,000 untuk pembelian empat laptop dan satu mesin pencetak turut diberikan kepada pusat aktiviti anak yatim di Kem Burj el-Barajna, Beirut," katanya.

Dr Hafidzi berkata, sumbangan itu telah disampaikan oleh misi Aqsa Syarif dan i4Syria (i4S) yang diketuai oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah (BoT) MyCare, Syed Mohd Radhi Syed Sakkaf, diiringi lima orang anggota.

Mereka telah berada selama enam hari di Lubnan sejak Khamis lepas melalui misi RETURN2AQSA4 (R2A4) lepas, katanya.

Katanya, semasa di sana mereka juga turut menyerahkan bantuan sebanyak RM5,385 kepada 21 fakir miskin dan RM3,800 untuk pembiayaan aktiviti kanak-kanak di Pusat Aktiviti Kanak-Kanak Khas Al-Hanin, Tripoli, Libya. - BERNAMA

Berita Harian X