Selasa, 14 Julai 2015 | 2:08pm

Draf resolusi Tribunal MH17 diedar kepada Majlis Keselamatan PBB

KUALA LUMPUR: Tribunal jenayah antarabangsa di bawah Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) perlu diwujudkan segera sebagai mesej menunjukkan bahawa masyarakat antarabangsa tidak akan berkompromi dengan sebarang tindakan yang boleh membahayakan penerbangan awam, mengancam keamanan dan keselamatan antarabangsa.

Kementerian Luar dalam kenyataannya hari ini, berkata tribunal terbabit, jika diluluskan Majlis Keselamatan PBB kelak akan memastikan sokongan luas diperoleh bagi tujuan pendakwaan dan memaksimumkan usaha mendapatkan kerjasama antarabangsa, yang penting bagi menjalankan pendakwaan secara berkesan dalam kes MH17.

Malaysia bersama Australia, Belgium, Belanda dan Ukraine menyeru ahli Majlis Keselamatan PBB menyokong cadangan ini sebagai usaha menghalang pihak tertentu yang cuba mengancam penerbangan awam.

"Australia, Belgium, Malaysia, Belanda dan Ukraine mempertimbangkan penubuhan tribunal jenayah antarabangsa yang bebas oleh Majlis Keselamatan PBB, sebagai mencerminkan piawaian tertinggi antarabangsa, serta menjadi kaedah terbaik memastikan keadilan untuk semua mangsa (MH17).

"Ia juga akan menjadi satu jawapan mengenai hakikat sebenar kejadian itu serta implikasi berkaitan untuk keselamatan penerbangan awam yang turut menyentuh kepentingan masyarakat antarabangsa secara keseluruhannya," mengikut kenyataan itu.

Malaysia, serta empat lagi negara sebelum ini minta Majlis Keselamatan PBB menubuhkan tribunal terbabit untuk mendakwa pihak yang bertanggungjawab menembak jatuh pesawat MH17 tahun lalu di wilayah Donestk, timur Ukraine.

Bagaimanapun, cadangan penubuhan tribunal itu ditentang Russia, yang menyifatkan resolusi itu seperti tidak memberi sebarang makna dalam menjejaki pesalah sebenar yang menembak jatuh pesawat milik Penerbangan Malaysia (MAS) itu.

Malaysia, anggota ke-15 Majlis Keselamatan PBB mengedarkan deraf resolusi lewat malam Jumaat lalu, yang mahu ia diterima dan dilaksanakan lewat bulan ini.

Ia adalah satu cadangan bersama oleh Malaysia, Australia, Belanda, Belgium dan Ukraine. Pesawat MH17 ditembak jatuh pada Julai 2014 dengan semua 298 penumpang di dalam pesawat maut termasuk 43 daripadanya warga Malaysia.

Berita Harian X