Sabtu, 6 Jun 2015 | 6:48pm

Malim gunung jadi penyelamat, laksana misi dengan cemerlang

ANGGOTA Malim Gunung Kinabalu membaca doa di pondok Timpohon sebelum bertolak ke puncak gunung untuk menjalankan kerja menyelamat pendaki yang terkandas di puncak Gunung Kinabalu semalam. - Foto Edmund Samunting
ANGGOTA Malim Gunung Kinabalu membaca doa di pondok Timpohon sebelum bertolak ke puncak gunung untuk menjalankan kerja menyelamat pendaki yang terkandas di puncak Gunung Kinabalu semalam. - Foto Edmund Samunting

RANAU: Tiga pendaki, iaitu antara 137 pendaki yang terkandas di Gunung Kinabalu, menyifatkan malim gunung telah melaksanakan misi yang sangat besar dan hebat.

Malim gunung menjadi penyelamat dan sanggup mempertaruhkan nyawa mereka untuk memastikan semua pendaki selamat tiba di Pondok Timpohon, laluan permulaan untuk merasai pengalaman mendaki Gunung Kinabalu, gunung tertinggi di Asia Tenggara.

Seorang pendaki yang ingin dikenali sebagai Abbie, 24, berkata malim gunung sentiasa memberi komitmen penuh untuk memastikan semua pendaki selamat turun.

"Mereka melakukan misi yang luar biasa dan menakjubkan," kata pemuda dari Kuala Lumpur ini yang terkandas di Gunung Kinabalu susulan gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Richter pada 7.15 pagi semalam.

Abbie yang selamat tiba di sini kira-kira 3 pagi ini, berkata malim gunung juga membuat laluan baharu memandangkan laluan utama telah rosak dan tidak dapat dilalui akibat gempa bumi.

"Mereka memberi tunjuk arah kepada kami dari puncak Laban Rata ke laluan keluar (Pondok Timpohon) dengan sangat baik," katanya.

Rakannya, Brett Isenor, 41, juga memuji malim gunung kerana mereka membawa turun semua pendaki dengan penuh tanggungjawab.

"Mereka membuat laluan baharu untuk kami turun," kata Isenor, warga Kanada.

Abbie dan Isenor ialah antara sembilan rakan yang berjaya sampai ke puncak Gunung Kinabalu dan mewakili syarikat mereka untuk mengumpul dana bagi program amal tempatan.

Sementara itu, seorang pelajar dari Ranau, Elnabeth Elvia Yamoh, 23, yang berada di puncak Gunung Kinabalu selama sembilan jam, berkata malim gunung sangat memberi sokongan untuk mereka menguatkan semangat serta terus bertahan.

"Mereka memahami perasaan kami yang berada di atas tanpa makanan dan minuman. Mereka ambil botol minuman kami dan mengisi air dari sumber semula jadi.

"Mereka juga amat mengambil berat keselamatan kami. Mereka akan mengikat tali setiap kali melangkah turun. Sebab itulah kami mengambil masa lama untuk sampai ke sini...laluan asal sudah tidak boleh digunakan," kata Elnabeth yang mendaki gunung bersama 18 lagi rakannya dan mengakui trauma akan kejadian itu.

- BERNAMA

Berita Harian X