Sabtu, 6 Jun 2015 | 3:54pm

28 murid SK Kilimu cemas semasa gempa

DURUNEH menunjukkan keretakan yang dikesan di dinding bangunan SK Kilimu, Ranau selepas gempa bumi semalam. - Foto Mohd Izham Unnip Abdullah
DURUNEH menunjukkan keretakan yang dikesan di dinding bangunan SK Kilimu, Ranau selepas gempa bumi semalam. - Foto Mohd Izham Unnip Abdullah

RANAU: Seramai 28 murid tahun enam Sekolah Kebangsaan (SK) Kilimu, di sini yang menghadiri kelas tambahan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) pada cuti sekolah, lari menyelamatkan diri sejurus berlaku gegaran kuat disebabkan gempa bumi jam 7.15 pagi semalam.

Pengawal keselamatan, Duruneh Pokyou, 45, berkata ketika kejadian belum ada guru sampai ke sekolah, manakala murid terbabit sudah berkumpul di dalam dua kelas di tingkat dua.

Katanya, gegaran kuat secara tiba-tiba mengejutkannya dan seorang lagi pengawal keselamatan yang bertugas sebelum berteriak menyuruh murid terbabit keluar berkumpul di padang sekolah.

"Mereka lari bertempiaran sambil menangis untuk menyelamatkan diri. Selepas berkumpul di padang berlaku lagi dua gegaran tambahan sebelum guru mereka tiba.

"Disebabkan bimbang mengenai keselamatan, guru terbabit membatalkan kelas dan murid dibenarkan pulang selepas ibu bapa dimaklumkan mengenai pembatalan kelas berkenaan," katanya ditemui, di sini.

Selepas keadaan reda, katanya, dia meninjau sekeliling bangunan dan mendapati beberapa keretakan besar pada beberapa bahagian dinding, tangga dan siling dipercayai disebabkan gegaran berkenaan.

Katanya, pihak polis ada datang membuat tinjauan kerosakan yang dialami di sekolah itu.

"Sehingga sekarang saya masih takut masuk di kawasan bangunan sekolah kerana bimbang runtuh terutama masih berlaku gegaran susulan," katanya.

Berita Harian X