Isnin, 11 Mei 2015 | 1:37pm

Kes denggi Pulau Pinang meningkat 56.06 peratus

GEORGETOWN: Kes demam denggi di Pulau Pinang mencatat peningkatan sebanyak 56.06 peratus atau 37 kes bagi tempoh tujuh hari minggu lepas berbanding minggu sebelumnya.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan negeri, Dr Afif Bahardin, berkata sebanyak 103 kes denggi dilaporkan dari 26 April hingga 2 Mei berbanding 66 kes dari 19 April hingga 25 April lepas.

"Secara kumulatif setakat 2 Mei sebanyak 1,726 kes denggi dilaporkan berbanding 640 kes bagi tempoh sama tahun lepas. Enam kematian akibat denggi direkodkan tahun ini berbanding tiga kematian pada 2014," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, terdapat tiga lokaliti wabak tidak terkawal di daerah Timur Laut iaitu Jalan Pasar, Jalan Perak dan Lengkok Hijau yang merekodkan 33 kes dalam tempoh berkenaan.

Dr Afif mengingatkan masyarakat supaya terus mengambil langkah pencegahan dengan melakukan pemeriksaan di sekitar kawasan masing-masing bagi mengenal pasti dan menghapuskan tempat pembiakan nyamuk Aedes setiap minggu.

Beliau juga meminta orang ramai memberi kerjasama dengan membenarkan petugas kesihatan menjalankan semburan kabus di dalam rumah dan mendapatkan rawatan segera jika mengalami simptom awal penyakit denggi.

- BERNAMA

Berita Harian X