Khamis, 23 April 2015 | 7:36pm

Kawasan 92 hektar untuk pembangunan Pekan Gum-Gum

SANDAKAN: Pekan Gum-Gum bakal berwajah baharu apabila kerajaan negeri Sabah melaksanakan proses pembangunan serba lengkap bagi menaikkan taraf kehidupan masyarakat di kawasan itu.

Kerajaan negeri mengenal pasti tanah seluas 92 hektar untuk dijadikan kawasan pembangunan dan projek itu kini pada tahap penyediaan pelan.

Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Zakaria Mohd Edris, berkata kawasan pekan itu dibahagikan kepada beberapa pembangunan guna tanah seperti perumahan, perniagaan, kemudahan awam, perkhidmatan dan industri.

Katanya kawasan komersial terdiri daripada kawasan kedai, tapak tamu dan cadangan pembangunan komersial akan datang, manakala kawasan perumahan dibahagikan kepada dua jenis kepadatan iaitu perumahan berkepadatan tinggi dan sederhana.

Kawasan tapak industri pula dicadangkan di kawasan simpang keluar ke jalan utama Telupid-Sandakan.

Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Perbincangan Pelan Pembangunan Pekan Gum-Gum, dipengerusikan Timbalan Presiden Majlis Perbandaran Sandakan, Hamsan Awang Supain, di sini, hari ini.

Zakaria, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gum-Gum, berkata cadangan lain dalam pelan pembangunan ini adalah pembinaan kemudahan awam seperti bangunan yang menempatkan jabatan kerajaan, hospital mini, balai polis dan balai bomba.

Beliau berkata, pembangunan Pekan Gum-Gum itu akan menaik taraf kehidupan masyarakat di kawasan Gum Gum, di samping mewujudkan peluang perniagaan dan pekerjaan. - BERNAMA

Berita Harian X