Ahad, 19 April 2015 | 12:44pm
MENTERI Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (tiga dari kiri) bersama Ahmad Phesal (tiga dari kanan) melancarkan buku "Discover Malaysia by Bicycle" ketika pelancaran buku tersebut di perkarangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, hari ini.- Foto BERNAMA
MENTERI Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (tiga dari kiri) bersama Ahmad Phesal (tiga dari kanan) melancarkan buku "Discover Malaysia by Bicycle" ketika pelancaran buku tersebut di perkarangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, hari ini.- Foto BERNAMA

Tourism Malaysia lancar buku panduan pelancongan berbasikal

KUALA LUMPUR: Pelancong kini berpeluang memilih antara 74 pakej pelancongan berbasikal menarik untuk merasai pengalaman unik menerokai alam semula jadi Malaysia, berdasarkan maklumat yang dimuatkan di dalam buku 'Discover Malaysia by Bicycle Guidebook'.

Buku terbitan Tourism Malaysia dengan kerjasama 32 agensi pelancongan tempatan menawarkan panduan kepada pelancong dari dalam dan luar negara untuk melakukan aktiviti berbasikal di negara ini, seperti mengelilingi bandar raya Kuching melalui pakej Classic City Ride, Pakej Berbasikal Taman Negara dan Pakej Kota Bharu Cycling Tour.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Rashidi Hasbullah, berkata buku panduan itu boleh didapati di pusat-pusat Penerangan Pelancongan Tourism Malaysia (TIC), Pusat Pelancongan Malaysia (MaTIC) dan pejabat-pejabat Tourism Malaysia di seluruh negeri secara percuma.

Selain itu, 'Discover Malaysia by Bicycle Guidebook' juga boleh dimuat naik dalam bentuk E-Book dengan mengimbas 'QR Code' yang tertera pada muka depan buku itu atau di laman web Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.

"Saya percaya melalui penerbitan buku ini, ia boleh meningkatkan aktiviti pelancongan berbasikal, sekali gus menjadikan Malaysia sebagai tarikan destinasi pelancong," katanya kepada pemberita selepas melancarkan buku itu, di sini hari ini.

Rashidi berkata, segmen pelancongan berbasikal terus mendapat sambutan dalam kalangan pelancong dalam dan luar negara.

Pada tahun lepas, sebanyak 4,072 pakej pelancongan berbasikal bernilai RM725,612.07 berjaya dijual di seluruh negara.

Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib yang turut hadir pada majlis itu, berkata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang dalam perancangan mewujudkan pelan induk berbasikal Kuala Lumpur, meliputi kemudahan-kemudahan yang disediakan.

Katanya, hasil program 'KL Car Free Morning' yang dilancarkan tahun lepas, trend berbasikal di dalam bandar semakin mendapat sambutan.

"Kita lihat kini semakin ramai orang berbasikal di dalam Kuala Lumpur, oleh itu kita merancang untuk wujudkan satu pelan induk yang lebih terperinci melihat kepada kesalinghubungan, keselamatan dan kemudahan-kemudahan untuk berbasikal," katanya.

- BERNAMA

Berita Harian X