Isnin, 30 March 2015 | 4:15pm

Lebih 5,000 sambut Najib lawat rumah panjang

NAJIB bersalaman dengan penduduk Rumah Panjang Henry Nuni di Majlis Pemimpin Bersama Rakyat dalam Lawatan dua hari ke Bintulu di Sarawak. - Foto Mohd Radzi Bujang
NAJIB bersalaman dengan penduduk Rumah Panjang Henry Nuni di Majlis Pemimpin Bersama Rakyat dalam Lawatan dua hari ke Bintulu di Sarawak. - Foto Mohd Radzi Bujang

BINTULU: Lebih 5,000 penduduk setempat menyambut ketibaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melawat Rumah Panjang Henry Nuni Plen di Sungai Gelam, Hulu Sebauh, di sini, sebentar tadi sebagai sebahagian lawatan kerja dua hari ke wilayah utara negeri ini.

Ia mencipta sejarah tersendiri bagi penghuni rumah panjang 53 pintu ini kerana kali kedua dikunjungi pemimpin tertinggi negara selepas dilawati Perdana Menteri ketiga, Tun Hussien Onn pada 1979.

Bersempena lawatannya ke rumah panjang itu, Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pusat turut mengambil peluang beramah mesra dengan rakyat yang setia menantinya di bawah panas terik.

Malah, beliau turut melancarkan Sistem Pemadam Kebakaran Rumah Panjang yang disumbangkan Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang menggunakan air sungai bagi kemudahan penduduk setempat.

Najib mempunyai jadual padat sempena lawatan kerja kali ini, khusus bagi meninjau perkembangan projek pembangunan infrastruktur dan sosioekonomi rakyat, terutama di kawasan pedalaman Bumi Kenyalang.

Beliau dijangka menghadiri Makan Malam Bersama Pemimpin BN Sarawak, Ketua Masyarakat dan Pemain Industri di Hotel Parkcity Everly, di sini.

Namun, program utama yang bakal diberikan perhatian ialah perasmian Projek Pembinaan Lebuhraya Pan Borneo di Hentian R & R Simpang Bakun pagi esok yang sememangnya dinanti-nantikan rakyat negeri ini, begitu juga di Sabah.

Bernilai RM27 bilion dengan jarak mencecah 1,633 kilometer, ia sebahagian daripada projek pembangunan infrastruktur mega yang dilaksanakan kerajaan bagi menyediakan rangkaian perhubungan lebih sempurna dan cekap, sekali gus menangani kekangan logistik di Malaysia Timur.

Pembinaan lebuh raya itu diyakini mampu merangsang pembangunan sosio-ekonomi setempat, sekali gus mendukung usaha mewujudkan kawasan pertumbuhan ekonomi baharu di Sarawak dan Sabah.

Najib turut dijadual meninjau perkembangan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE), termasuk bertemu pelabur tempatan dan asing yang menanam modal di Taman Perindustrian Samalaju, selain melawat tapak projek Pelabuhan Bintulu sebelum pulang ke ibu negara petang esok.

Selain Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Alfred Jabu Numpang, turut mengiringi Najib ialah Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal; Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Joseph Entulu Belaun dan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komiditi, Datuk Seri Douglas Uggah Embas dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Berita Harian X