Rabu, 25 March 2015 | 12:17am

Pesilat umpama angkatan ketiga pertahanan negara - PM

NAJIB berucap pada majlis 'Himpunan Sang Sapurba Segayong Malaysia 2015' anjuran Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayong Malaysia (PSSPGM) di UPM di sini malam tadi. - Foto Munira Abdul Ghani
NAJIB berucap pada majlis 'Himpunan Sang Sapurba Segayong Malaysia 2015' anjuran Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayong Malaysia (PSSPGM) di UPM di sini malam tadi. - Foto Munira Abdul Ghani

SERDANG: Semua pesilat dan pertubuhan silat adalah umpama angkatan ketiga yang mempertahankan negara daripada ancaman musuh durjana sama ada dari dalam mahupun luar, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata walaupun masyarakat kini dalam zaman kontemporari serba moden tetapi semangat kependekaran sangat penting dalam konteks pertahanan negara.

"Pembabitan dalam persilatan khususnya persilatan gayong ada beberapa kelebihan yang boleh dihayati iaitu membina kekuatan yang tidak berpaksi kepada kekuatan fizikal sahaja tapi pengorbanan rohani, jiwa, mental supaya sentiasa kental menghadapi sebarang cabaran," katanya.

Perdana Menteri berucap pada majlis 'Himpunan Sang Sapurba Segayong Malaysia 2015' anjuran Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayong Malaysia (PSSPGM) yang dihadiri kira-kira 12,000 pesilat gayong seluruh negara di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini malam tadi.

NAJIB hadir pada majlis 'Himpunan Sang Sapurba Segayong Malaysia 2015' anjuran Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayong Malaysia (PSSPGM) di UPM di sini malam tadi. - Foto Sairien Nafis
NAJIB hadir pada majlis 'Himpunan Sang Sapurba Segayong Malaysia 2015' anjuran Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayong Malaysia (PSSPGM) di UPM di sini malam tadi. - Foto Sairien Nafis

Turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek; Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron.

Najib berkata, antara kelebihan lain seorang pesilat ialah seni mempertahankan diri itu menekankan kepentingan penambahbaikan diri daripada segi fokus dan meraih kepakaran yang semakin mendalam dan tinggi.

"Silat juga membentuk kesatuan dan kesepaduan. Ini amat penting demi survival orang Melayu dan kecemerlangan bangsa yang mesti berpaksi kepada solidariti antara orang Melayu dan Islam," katanya yang juga Imam Khalifah Agung PSSPGM.

Najib berkata, silat juga membangunkan anak-anak muda selain menekankan disiplin dan jati diri dalam membina karektor dan keutuhan jati diri.

NAJIB hadir ke Perhimpunan Sang Sapurba Segayong, di UPM, malam tadi. Majlis menyaksikan penyampaian sandang kepada 12 orang anggota dan pelancaran logo Yayasan Pusaka Gayong Malaysia yang baharu. Turut hadir Yang di-Pertua Seni Silat Pusaka Gayong Malaysia, Datuk Raja Abdul Majid Raja Mat Isa dan Ketua Serikandi Gayong, Datin Ummi Kalthom Ismail. - Foto BERNAMA

Perdana Menteri turut melahirkan rasa bangga dengan komitmen pesilat gayong dari seluruh tanah air.

Pada majlis itu, Najib turut melancarkan Yayasan Pusaka Gayong dan menyampaikan sandang kebesaran gayong kepada beberapa individu termasuk artis tanah air Ahmad Azhar Othman yang lebih dikenali sebagai Awie, dan Nasir Bilal Khan. - BERNAMA

Berita Harian X