Ahad, 22 March 2015 | 4:01pm

Isu tambang: Pengusaha bas, teksi desak SPAD buat ketetapan baru

KUALA LUMPUR: Pengusaha bas dan teksi meminta Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) membuat ketetapan segera berikutan arahan Kabinet supaya menangguhkan kenaikan tambang baharu pengangkutan awam.

Presiden Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA), Datuk Asfar Ali, berkata sebaiknya ia diputuskan dalam tempoh terdekat, sebelum pelaksanaannya bagi mengelakkan kekeliruan di pihak pengusaha.

"Kami menerima baik keputusan SPAD sebelum ini untuk menaikkan tambang bas ekspres mulai 15 Mei ini, walaupun pada asalnya ditetapkan pada 1 April depan.

"Kita harap tempoh pelaksanaan bagi bas ekspres itu tidak berubah. Jika ada keputusan dan penetapan baharu, maklumkan segera, jika lewat, akan memberi kesukaran pada kami (pengusaha)," katanya kepada BH Online.

Asfar juga berkata, kenaikan seperti diumum SPAD sebelum ini adalah wajar dan selari dengan usaha kerajaan menambah baik mutu pengangkutan awam di negara ini terutama bas ekspres.

Beliau juga meminta pengguna tidak hanya mempersoal kenaikan kos, namun dalam masa sama mendesak supaya perkhidmatan pengangkutan awam di negara ini ditingkatkan.

"Mahu kualiti yang baik, kos yang dibayar juga perlu sedikit lebih. Lagipun tambang yang akan dinaikkan hanya pada bas ekspres, bukan bas henti-henti yang penggunaannya lebih kerap," katanya.

Asfar berkata, faktor kenaikan itu juga perlu dilihat secara menyeluruh dengan kadar semakan terakhir hanya dibuat pada 2008, selain faktor ketiadaan subsidi diesel dan kos selenggara meningkat.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam memaklumkan bahawa Kabinet sudah meminta SPAD menangguhkan dulu kenaikan kadar tambang baharu pengangkutan awam seperti yang diumumkan suruhanjaya itu, Khamis lalu.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengusaha Teksi Wilayah Persekutuan dan Selangor, Datuk Aslah Abdullah pula meminta SPAD membuat pemakluman lebih awal kepada semua pengusaha teksi berkenaan apa saja keputusan yang sudah di muktamad.

"Beritahulah kami dulu.. sekurang-kurangnya kami boleh menimbang dan membuat persediaan.. macam penetapan tambang baharu, kami sendiri pun tahu daripada media.

"Sepatutnya ini tidak berlaku lagi.. bila diumum tambang (teksi akan) naik, pengusaha perlu juga melakukan beberapa pengubahsuaian terutama pada meter teksi.

"Tapi bila keadaan seperti ini berlaku (Kabinet arah tangguh dan orang ramai persoal), kami sendiri pun keliru , keadaan ini sebenarnya lagi menyusahkan pengusaha," katanya.

Aslah juga berkata, satu mesyuarat akan diadakan pihaknya esok di pejabat mereka bagi meneliti keputusan terbaharu SPAD dan arahan penangguhan oleh Kabinet sebelum ini.

Berita Harian X