Ahad, 8 March 2015 | 3:01pm

Dagangan Malaysia-China tak terjejas susulan tragedi MH370 - Mustapa

DATUK Seri Mustapa Mohamed turut mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem sempena lawatan kerja dua harinya ke Sarawak hari ini. - Foto NSTP
DATUK Seri Mustapa Mohamed turut mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem sempena lawatan kerja dua harinya ke Sarawak hari ini. - Foto NSTP

BINTULU: Perdagangan Malaysia - China berkembang kukuh dan tidak sedikit pun terjejas susulan kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS), MH370, yang genap setahun hari ini.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata sebagai rakan perdagangan utama, pelbagai usaha sentiasa dilaksanakan bagi memperkukuhkan hubungan antara kedua-dua negara.

"Tragedi MH370 tidak memberikan apa-apa kesan kepada prestasi perdagangan luar kita, terutama dengan China sebagai rakan dagang terbesar negara. Tidak hanya dalam konteks perdagangan, jumlah kunjungan pelancong mereka ke sini pun bertambah, sekali gus membuktikan keyakinan mereka terhadap Malaysia.

"China juga adalah negara sumber yang besar untuk Malaysia. Sepanjang 2014, prestasi perdagangan kita amat baik dengan China dan sekiranya terjejas sedikit pun, ia bukan disebabkan oleh tragedi itu, sebaliknya berpunca dari faktor lain, termasuk keadaan semasa ekonomi global," katanya kepada pemberita, di sini semalam.

Beliau sebelum itu mengikuti taklimat mengenai perkembangan Projek Pelabuhan Samalaju, di sini oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bintulu Port Holdings Berhad, Datuk Mior Ahmad Baiti.

Hadir sama Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar II Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan; Menteri Muda Pembangunan Industri (Pelaburan dan Promosi) Negeri, Datuk Julaihi Narawi; Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA), Tan Sri Wilson Baya Dandot.

DATUK Seri Mustapa Mohamed diberikan taklimat mengenai Projek Pelabuhan Samalaju oleh Datuk Mior Ahmad Baiti sambil diperhatikan Datuk Seri Tiong King Sing, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Tan Sri Wilson Baya Dandot. - Foto NSTP
DATUK Seri Mustapa Mohamed diberikan taklimat mengenai Projek Pelabuhan Samalaju oleh Datuk Mior Ahmad Baiti sambil diperhatikan Datuk Seri Tiong King Sing, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Tan Sri Wilson Baya Dandot. - Foto NSTP

Mustapha dalam rangka lawatan kerja dua hari ke Sarawak, khusus bagi meninjau prestasi perdagangan di negeri ini di bawah kelolaan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

Selain Projek Pelabuhan Samalaju, beliau turut meninjau pelan pembangunan Taman Perindustrian Samalaju, di sini yang juga kawasan pertumbuhan terpenting bagi Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).

Di sebalik tragedi itu, Mustapha menjelaskan nilai perdagangan dua hala Malaysia - China mencatatkan peningkatan memberangsangkan berjumlah RM207.8 bilion sepanjang tahun lalu berbanding RM203.3 bilion pada tahun sebelumnya.

Katanya, nilai perdagangan dua hala mungkin lebih tinggi sekiranya ekonomi global stabil kerana ketidaktentuan pasaran ekonomi dunia memberi memberi impak kepada pasaran ekonomi di Asia.

"Elonomi China juga agak terjejas berikutan kelembapan ekonomi dunia. Sepanjang 2014, ekonomi China mencatatkan pertumbuhan sebanyak 7.4% berbanding 7.7% pada tahun sebelumnya," katanya.

Dalam konteks positif, katanya, tragedi kehilangan MH370 turut mempereratkan lagi hubungan dua hala Malaysia - China, khususnya dari segi diplomatik dan perdagangan.

Berita Harian X