Khamis, 19 Februari 2015 | 3:23pm

Identiti dua mangsa bot tenggelam di Kuala Gula dikenal pasti

Mohd Farid Hussain, 34, (kiri) dari Kampung Nelayan Kuala Gula dan warga Indonesia, Patahhul Karim, 27. - Foto NSTP
Mohd Farid Hussain, 34, (kiri) dari Kampung Nelayan Kuala Gula dan warga Indonesia, Patahhul Karim, 27. - Foto NSTP

KUALA KURAU: Identiti dua mangsa yang dilaporkan hilang dalam kejadian bot tenggelam dipukul ribut ketika menangkap ikan di Pancang Gambang berhampiran Kuala Gula dekat sini malam tadi disahkan sebagai Mohd Farid Hussain, 34, dari Kampung Nelayan Kuala Gula dan warga Indonesia Patahhul Karim, 27.

Ketua Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM), Leftenan Maritim Mohd Fairul Haswadi Abu Bakar, berkata kejadian berlaku dalam jarak lingkungan satu kilometer dari chalet Kuala Gula.

"Daripada enam yang terbabit dalam kejadian itu, tiga dikenalpasti sebagai warganegara Indonesia dan seorang warga tempatan berjaya diselamatkan sebuah bot nelayan tempatan kira-kira setengah jam selepas kejadian dilaporkan berlaku.

"Dua lagi iaitu masing-masing warga tempatan dikenali sebagai Mohd Farid Hussein, 34 dan seorang warga Indonesia, Patahhul Karim, 27, masih belum ditemui," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian sebentar tadi.

Katanya, difahamkan ketika kejadian semua nelayan terbabit sedang sedang menaikkan pukat dari bot mereka sebelum datang ribut dan ombak kuat yang kemudiannya mengakibatkan ketiga-tiga bot berkenaan terbalik dan karam.

"Operasi SAR disertai enam agensi membabitkan APMM, Jabatan Perikanan, polis, Jabatan Pertahanan Awam, bomba dan kakitangan Klinik Kesihatan Kuala Kurau," katanya.

Beliau berkata, mangsa yang berjaya diselamatkan dikenali sebagai Dahalan Jamaludin, 36, nelayan tempatan berasal dari Kampung Nelayan Kuala Gula manakala dan tiga lagi mangsa adalah warga Indonesia berusia lingkungan 34 tahun hingga 46 tahun, "katanya.

Katanya, sehingga jam 3 petang semalam, operasi masih gagal menemui kedua-dua mangsa.

Berita Harian X