Khamis, 19 Februari 2015 | 12:56pm

Konsep tanah kubur Islam pintar diperluas ke negara jiran

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom merasmikan Majlis Pecah Tanah di tapak perkuburan Islam Raudhatul Sakinah yang kedua di Kampung Melayu Kepong, Kuala Lumpur hari ini. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Konsep tanah perkuburan Islam pintar, Raudhatul Sakinah yang dibangunkan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bakal diperluas ke negara jiran di rantau ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata konsep itu dijangka diperluas ke negara jiran yang terbabit dalam mesyuarat Menteri-Menteri Agama Brunei Darussalam, Indonesia, dan Singapura (MABIM).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom (kanan) mendengar penerangan Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Kepong, Datuk Rizuan Abd Hamid (dua dari kanan) mengenai lokasi pembinaan tanah perkuburan Islam Raudhatul Sakinah pada Majlis Pecah Tanah di Kampung Melayu Kepong, Kuala Lumpur hari ini. - Foto BERNAMA

"Selepas fasa pertama dibangunkan di Jalan Kuala Lumpur-Karak sebelum ini, kita menerima pandangan positif daripada masyarakat sebagai penanda aras kepada umat Islam dalam mesyuarat MABIM sebelum ini.

"Fokus MAIWP mahu jadikan kawasan perkuburan bukan tempat yang menakut dan menggerunkan, sebaliknya memperlihatkan keindahan Islam menerusi kawasan kubur," katanya kepada pemberita di sini, pagi ini.

Terdahulu, Jamil Khir merasmikan Majlis Pecah Tanah di tapak perkuburan Islam Raudhatul Sakinah yang kedua di Kampung Melayu Kepong, di sini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Paimuzi Yahya.

Jamil Khir berkata, tanah perkuburan Kampung Melayu Kepong itu akan dibangunkan dengan kos lebih RM6 juta di tapak seluas 3.2 hektar yang mampu menempatkan 6,942 plot kubur.

Ia dijangka siap pada Jun depan.

Katanya, tanah perkuburan yang dikawal selia JAWI itu bakal dilengkapi sistem pangkalan data e-Pusara, selain kemudahan tempat letak kereta, gazebo (wakaf dan tempat duduk) serta kemudahan paip air dan lampu taman.

Beliau turut menyarankan Majlis Agama Islam negeri lain dapat mencontohi konsep tanah perkuburan dalam taman itu.

Berita Harian X