X
Khamis, 5 Februari 2015 | 8:12pm

Kerajaan Terengganu agih rumah, kiosk basmi kemiskinan bandar

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri, Roslee Daud (tengah) bersama penerima bantuan perumahan bandar dan kiosk penjaja bergerak di Dungun hari ini. - Foto Rosli Ilham
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri, Roslee Daud (tengah) bersama penerima bantuan perumahan bandar dan kiosk penjaja bergerak di Dungun hari ini. - Foto Rosli Ilham

DUNGUN: Majlis Perbandaran Dungun (MPD) menerima peruntukan sebanyak RM240,000 dari Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi membina enam rumah di bawah Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB).

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri, Roslee Daud, berkata setiap rumah yang berharga RM40,000 itu diberi kepada kumpulan PPKB terdiri daripada isi rumah B40 iaitu yang berpendapatan kurang daripada RM2,300 sebulan termasuk isi rumah miskin dan mudah miskin.

"Pelaksanaan PPKB itu adalah selari dengan hasrat kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke-10, untuk mengurangkan kemiskinan daripada 3.8 peratus pada 2009 kepada 2.0 peratus pada tahun ini.

"Selain itu, ia bagi meningkatkan purata pendapatan isi rumah terendah daripada RM1,440 pada 2009 kepada RM2,300 pada tahun ini," katanya ketika menyampaikan bantuan perumahan bandar dan kiosk penjaja bergerak di bawah program itu di sini hari ini.

Pada majlis itu, Roslee menyampaikan enam rumah dan 10 unit kiosk penjaja bergerak di bawah program PPKB melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM150,000.

Katanya, inisiatif di bawah PPKB bertujuan membantu golongan miskin dan berpendapatan rendah di bandar, meningkatkan kualiti hidup di samping mengurangkan beban tanggungan keluarga.

"Hasrat kerajaan adalah untuk menyediakan bantuan yang boleh memberi keselesaan kepada rakyat ke arah menuju maju pada 2020," katanya.

Sementara itu, seorang penerima bantuan rumah, Kamal Bacha Abd Mohammed, 46, dari Kampung Sungai Buaya berkata sudah lama beliau mengindamkan untuk tinggal di rumah sendiri.

"Saya rasa bagaikan mimpi kerana terpilih pada program ini. Untuk membinanya sendiri, saya tidak mampu," kata pengusaha warung yang mempunyai tiga anak itu.

Bagi Orang Kelainan Upaya (OKU) Zakaria Awang, 34, dari Kampung Pulau Serai yang menerima kiosk bergerak pula gembira kerana permohonan untuk mendapatkan kiosk selama ini menjadi kenyataan.

Peniaga buger yang masih bujang itu berkata, sebelum ini gerainya agak kurang menarik, tetapi dengan adanya koisk baharu yang diterimanya hari ini, ia memberi semangat untuk beliau berniaga dengan lebih serius.

- BERNAMA

Berita Harian X