Rabu, 4 Februari 2015 | 5:39pm

JAKIM lantik TPM Biotech sebagai makmal panel halal

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom menyaksikan pertukaran dokumen antara Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Othman Mustapha (tiga dari kiri) dengan Ketua Pegawai Eksekutif TPM Biotech Sdn Bhd, Ahmad Husni Johari (dua dari kanan) pada majlis menandatangani memorandum persefahaman pelantikan TPM Biotech sebagai makmal panel halal JAKIM, Putrajaya hari ini. - Foto Fariz Iswadi Ismail.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom menyaksikan pertukaran dokumen antara Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Othman Mustapha (tiga dari kiri) dengan Ketua Pegawai Eksekutif TPM Biotech Sdn Bhd, Ahmad Husni Johari (dua dari kanan) pada majlis menandatangani memorandum persefahaman pelantikan TPM Biotech sebagai makmal panel halal JAKIM, Putrajaya hari ini. - Foto Fariz Iswadi Ismail.

PUTRAJAYA: TPM Biotech Sdn Bhd dilantik sebagai makmal panel halal pertama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi mempercepatkan proses pengesahan dan pensijilan Halal Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata langkah di bawah Strategi Lautan Biru Negara (NBOS) itu diambil memandangkan kerancakan industri halal di negara ini memerlukan proses pensijilan yang pantas.

"Pihak industri kini ada pilihan untuk mendapatkan khidmat Jabatan Kimia tanpa bayaran tetapi mengambil masa 30 hari atau makmal panel yang mengenakan caj mengikut parameter analisis dan keputusan boleh diperoleh dalam tempoh 15 hari," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman pelantikan TPM Biotech sebagai makmal panel halal JAKIM, di sini, hari ini.

Menurutnya, selain TPM Biotech, terdapat tiga lagi makmal yang berkelayakan untuk dipertimbangkan sebagai makmal panel halal iaitu Institut Penyelidikan Produk Halal, Universiti Putra Malaysia; Unipeq Sdn Bhd, Universiti Kebangsaan Malaysia; dan Melaka Biotechnology Corporation.

Jamil Khir berkata, pemilihan TPM Biotech adalah berdasarkan kepada syarat dan terma yang ditetapkan oleh Jakim dengan memperoleh akreditasi daripada Standards Malaysia di bawah Skim Akreditasi Makmal Malaysia dan mempunyai Jawatankuasa Halal Dalaman serta mengaplikasikan prosedur sertu.

Menurutnya, tempoh lantikan makmal itu adalah selama setahun dan pemantauan akan dijalankan dari semasa ke semasa sepanjang tempoh lantikan.

"Pengiktirafan boleh ditarik balik pada bila-bila masa sekiranya gagal mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan," katanya.

Tambahnya, perkhidmatan analisis yang ditawarkan TPM Biotech adalah khusus untuk analisis 'DNA Extraction Based on DNeasy Blood and Tissue Kit' (Qiagen) dan 'Identification of Porcine Specific DNA Sequence using PCR'.

Sementara itu, katanya Malaysia Halal Analysis Centre (MyHAC) dijangka mula beroperasi pada pertengahan tahun ini.

- BERNAMA

Berita Harian X