X
Ahad, 21 Disember 2014 | 5:36pm

KKM pantau harga ubat selepas pelaksanaan GST

CHANGLUN: Kementerian Kesihatan akan memantau harga ubat-ubatan untuk memastikan pesakit tidak dibebani dengan ubat mahal selepas pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada April depan.

Timbalan Menteri berkenaan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya, berkata kos sebahagian ubat-ubatan di hospital dan klinik swasta mungkin meningkat antara satu dan dua peratus berikutan pelaksanaan GST, tetapi bukan semua ubat akan mengalami kenaikan harga.

Katanya, ada beberapa jenis ubat yang tidak dikenakan GST seperti panadol yang biasa digunakan di hospital dan klinik.

"Untuk pesakit yang mendapatkan rawatan di hospital kerajaan, mereka tidak perlu bimbang dengan pelaksanaan GST kerana kos ubatan dibiayai kerajaan," katanya pada sidang media selepas Program Kesihatan Bersama Rakyat di Kampung Tradisi di sini, hari ini.

Beliau berkata, klinik dan hospital swasta di negara ini perlu mematuhi harga siling ubat-ubatan dan kos rawatan lain yang ditetapkan Kementerian Kesihatan supaya ia tidak membebankan pesakit.

Jika pesakit dikenakan caj mahal untuk ubat-ubatan dan rawatan selepas pelaksanaan GST, beliau berkata mereka boleh membuat laporan kepada Kementerian Kesihatan.

Dr Hilmi berkata, kementerian juga sedang berunding dengan pembekal ubat-ubatan bagi penyelarasan harga supaya tiada kenaikan tidak terkawal selepas pelaksanaan GST.

Mengenai banjir di negeri-negeri di Pantai Timur, beliau berkata kementerian menempatkan 322 petugas termasuk 157 petugas perubatan di klinik bergerak.

"Setakat ini, tiada mangsa banjir mengalami masalah kesihatan seperti keracunan makanan. Petugas negeri di beberapa pusat penempatan banjir cukup untuk mengawal tahap kesihatan mangsa banjir.

"Saya nasihatkan semua mangsa banjir terutamanya kanak-kanak supaya tidak bermain air banjir kerana ia boleh mengakibatkan penyakit," katanya.

- BERNAMA

Berita Harian X