Rabu, 19 November 2014 | 11:49pm

ASEAN bangunkan sektor PKS semasa Malaysia jadi pengerusi - Najib

DATUK Seri Najib Razak melancarkan logo dan tema kepengerusian Asean pada majlis makan malam ASEAN-BAC di sini, hari ini. - Foto Yazit Razali
DATUK Seri Najib Razak melancarkan logo dan tema kepengerusian Asean pada majlis makan malam ASEAN-BAC di sini, hari ini. - Foto Yazit Razali

KUALA LUMPUR: ASEAN akan membangunkan sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serantau yang menyeluruh di bawah kelolaan Malaysia sebagai pengerusi, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata, komitmen itu mencerminkan kepentingan sektor PKS dalam ekonomi Malaysia dan rantau ini.

"Saya berharap dapat mengumumkan pelan strategik bagi perkara ini tahun depan," kata Najib dalam ucapan khasnya semasa Majlis Makan Malam Penyerahan Jawatan Pengerusi Majlis Penasihat Perniagaan-ASEAN (ASEAN-BAC) 2015, di sini.

Perdana Menteri berkata, lebih banyak langkah akan dirangka dalam tempoh terdekat ini bagi membantu PKS mendapat pembiayaan.

"Sesetengah syarikat ini tidak menyimpan buku akaun dengan baik, atau memahami bagaimana untuk membentangkan perniagaan mereka apabila mendapatkan pinjaman bank.

"Bank-bank pula, sebaliknya, kadang-kadang terlalu mengelak risiko apabila tiba masa untuk membiayai PKS. Itulah sebabnya mengapa sesetengah negara seperti Malaysia, ada mempunyai bank PKS," kata Najib.

Mengulangi cadangan daripada ASEAN-BAC untuk menubuhkan ASEAN SME Bank, beliau berkata bank-bank ASEAN yang mahu beroperasi di negara ASEAN lain, perlu didesak untuk memperuntukkan sebahagian daripada aset mereka bagi pemberian pinjaman PKS.

Najib berkata, Komuniti Ekonomi ASEAN yang akan datang menyediakan banyak peluang, tetapi juga cabaran serius.

DATUK Seri Najib Razak menyampaikan ucaptama pada Majlis Makan Malam Penyerahan Jawatan Pengerusi Majlis Penasihat Perniagaan-ASEAN (ASEAN-BAC) 2015, di sini. - Foto Yazit Razali
DATUK Seri Najib Razak menyampaikan ucaptama pada Majlis Makan Malam Penyerahan Jawatan Pengerusi Majlis Penasihat Perniagaan-ASEAN (ASEAN-BAC) 2015, di sini. - Foto Yazit Razali

"Sebagai pengerusi semasa tempoh penting ini, Malaysia akan menerajui - secara kerjasama dengan negara-negara anggota - untuk mencapai sebanyak mungkin pelan tindakan ASEAN," katanya.

Beliau berkata, syarikat-syarikat yang mencari manfaat penuh daripada Komuniti Ekonomi ASEAN perlu sedar bahawa mereka mungkin kehilangan kelebihan penggerak pertama sekiranya mereka menunggu terlalu lama.

"Bukan hanya syarikat ASEAN yang mencari ekonomi bidangan satu asas pengeluaran tunggal bagi satu pasaran besar dan bebas - tetapi syarikat global juga mencari tapak di Asia Tenggara.

"Syarikat multinasional bukan ASEAN telahpun mengukuhkan kedudukan mereka dan membuat perancangan ke hadapan," katanya.

Najib berkata bank data berpusat di ASEAN boleh menyediakan PKS dengan maklumat penyumberan luar bagi mengembangkan perniagaan mereka. - BERNAMA

Berita Harian X