Rabu, 12 November 2014 | 5:34pm

PM India ucap tahniah kepada Najib, pelawa syarikat Malaysia melabur

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersalaman dengan Perdana Menteri India, Narendra Modi ketika mengadakan pertemuan pada perasmian Sidang Kemuncak Asean ke-25 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Myanmar (MICC). -Foto BERNAMA
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersalaman dengan Perdana Menteri India, Narendra Modi ketika mengadakan pertemuan pada perasmian Sidang Kemuncak Asean ke-25 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Myanmar (MICC). -Foto BERNAMA

NEW DELHI: Perdana Menteri India, Narendra Modi, mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak atas inisiatif pembaharuan yang diambil Putrajaya dalam tadbir urus dan ekonomi.

"Malaysia dan India telah bekerjasama pada masa lepas. Kita boleh membawa kerjasama ini ke peringkat selanjutnya di bawah kepimpinan anda," katanya semasa mesyuarat dua hala yang diadakan di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-25 di Nay Pyi Taw, Myanmar.

Ini adalah pertemuan kali pertama kedua-dua pemimpin.

Hasil mesyuarat dua hala itu dimuat naik dalam akaun twitter rasmi Pejabat Perdana Menteri India (PMO).

Antara lain, Modi menyebut tentang usaha Malaysia dalam projek perumahan mampu milik.

"Kami mahu setiap rakyat India memiliki rumah menjelang 2022. (Saya) telah melihat syarikat Malaysia boleh mengusahakan bidang ini.

"Saya memberikan banyak penekanan kepada 'Make in India' dan mahu mempelawa syarikat-syarikat Malaysia untuk datang ke India. Terdapat banyak peluang," kata Modi.

Menurut tweet itu, Najib juga mempelawa syarikat-syarikat India untuk melihat peluang di Malaysia.

"Perdana Menteri Najib mempelawa Perdana Menteri Narendra Modi untuk melawat Malaysia. Perdana Menteri juga mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Malaysia dan mempelawa beliau melawat Inida," menurut PMO dalam laman blog mikro itu.

Perdagangan dua hala antara India dan Malaysia berjumlah AS$13.4 bilion pada tahun 2013. Sasarannya adalah untuk mencapai AS$20 bilion menjelang 2015.

- BERNAMA

Berita Harian X