KOTA KINABALU; Dua sarjana Universiti Malaysia Sabah (UMS) antara 22 penerima Anugerah Pujian Presiden Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA) ke-10, tahun ini.
Penerima berkenaan ialah Prof Dr Kamarulzaman Askandar atau Dr Zam dan Dr Ayesah Abubakar, kedua-duanya dari Fakulti Ilmu Kemanusiaan, Kesenian dan Warisan.
Mereka menerima Sijil Kepujian dan Penghormatan dari ibu pejabat JICA sebagai pengiktirafan atas kerjasama dan sumbangan terhadap aktiviti JICA, pada satu majlis di sini hari ini.
Naib Canselor UMS Prof Datuk Dr Mohd Harun Abdullah dalam ucapannya berkata kerjasama JICA dan UMS bermula sejak 2002, melalui Program Biodiversiti dan Pemuliharaan Ekosistem Borneo (BBEC), iaitu kerjasama pelbagai agensi antara JICA, kerajaan Sabah dan UMS.
"Kami meningkatkan kerjasama melalui platform pembangunan perdamaian antara kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF), kini dikenali sebagai Program Penyatuan Keamanan Untuk Mindanao (COP) dengan JICA melalui kepimpinan kedua-dua penerima," katanya.
Mohd Harun mengucapkan tahniah kepada JICA dan berkata beliau bangga dengan usaha berterusan UMS dalam mengukuhkan kerjasama dan berharap perkongsian pintar ini akan menggalakkan lebih banyak inisiatif dan aktiviti pada masa akan datang.
Sementara itu, Pengurus Program JICA-KL Teoh Siaw Keng berkata anugerah pujian itu telah disampaikan kepada individu, kumpulan dan pasukan projek bagi mengiktiraf sumbangan mereka dalam pembangunan sumber manusia, masyarakat dan ekonomi negara-negara membangun. - BERNAMA