Khamis, 23 Oktober 2014 | 4:21pm

Ia video palsu untuk jatuhkan ulama - Pembantu UAI

Ustaz Azhar Idrus. - Foto Fail NSTP/Faiz Anuar
Ustaz Azhar Idrus. - Foto Fail NSTP/Faiz Anuar

KUALA TERENGGANU: Pembantu Ustaz Azhar Idrus (UAI), Zulkifli Wahab, menyifatkan penyebaran klip video lucah yang dikaitkan dengan penceramah terkenal itu sebagai usaha terancang pihak tertentu untuk menjatuhkan golongan ulama.

Sambil menafikan pelaku dalam rakaman video itu adalah UAI, Zulkifli berkata ia juga usaha pihak berkenaan untuk menggagalkan penyebaran dakwah dalam kalangan umat Islam di negara ini.

"Bukan... jangan percaya... itu adalah usaha terancang pihak tertentu untuk menjatuhkan bukan saja UAI tetapi juga golongan ulama di negara ini.

"Kebelakangan ini seperti sudah wujud trend untuk menjatuhkan golongan ustaz dan ulama ini," katanya ketika dihubungi di sini.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata kesedaran dan minat tinggi masyarakat Islam di negara ini menghadiri pelbagai program agama dan ceramah hingga mencetuskan satu fenomena yang menyebabkan pihak tertentu tidak senang duduk.

"Tengok sajalah program 'I Want To Touch A Dog'... itu juga satu daripada usaha kotor untuk menjatuhkan golongan ulama dan ilmuwan Islam, selain memesongkan akidah umat Islam dan meruntuhkan keteguhan Islam di negara ini.

"Mereka sengaja merancang usaha kotor ini dan mereka akan buat apa saja untuk merosakkan Islam di negara ini," katanya.

Ditanya penerimaan UAI berhubung penyebaran klip video itu, Zulkifli berkata UAI masih meneruskan program ceramah seperti biasa dan tidak terjejas dengan penyebaran video palsu itu.

Berita Harian X