Jumaat, 10 Oktober 2014 | 9:03pm
JURURAWAT, (dari kiri) Eramasita Burhanuddin bersama Siti Nurhafizah Mohd Amin dan Iza Amira Ismail menonton secara langsung pembentangan Bajet 2015 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, hari ini. - Foto Danial Noordin
JURURAWAT, (dari kiri) Eramasita Burhanuddin bersama Siti Nurhafizah Mohd Amin dan Iza Amira Ismail menonton secara langsung pembentangan Bajet 2015 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, hari ini. - Foto Danial Noordin

Pengagihan kit ujian denggi mudahkan diagnosis

KUALA LUMPUR: Peruntukan RM30 juta dalam Bajet 2015 untuk pengagihan 55,000 kit ujian denggi kepada semua klinik swasta adalah langkah yang mampu mengurangkan kebergantungan kepada makmal swasta dan kerajaan untuk melakukan diagnosis darah awal demam denggi.

Ketua Sektor Penyakit Bawaan Vektor, Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr Rose Nani Mudin, berkata ia langkah yang menyingkatkan secara drastik tempoh diagnosis.

"Sebelum ini sekurang-kurangnya sehari untuk klinik swasta mendapatkan keputusan diagnosis kerana mereka perlu menghantar sampel darah pesakit kepada makmal yang mungkin terletak jauh dari lokasi mereka.

Tetapi, bila adanya 'kit ujian' ini keputusan untuk diagnosis boleh diperoleh dalam tempoh 20 minit di klinik itu sendiri tanpa mengakibatkan pesakit menunggu lama," katanya dihubungi di sini hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada pembentangan Bajet 2015 di Dewan Rakyat hari ini, mengumumkan peruntukan sebanyak RM30 juta untuk mengagihkan 55,000 kit ujian denggi kepada semua klinik swasta bagi mempercepatkan proses pengesanan awal denggi secara percuma dan pada masa sama mengekang penularan wabak penyakit itu.

Dr Rose Nani berkata, mengikut statistik terkini sebanyak 79,720 kes denggi direkodkan di seluruh negara setakat 8 Oktober lepas berbanding hanya 24,612 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

"Dalam tempoh yang sama, angka kematian akibat wabak berkenaan juga secara keseluruhan meningkat daripada hanya 54 kes pada 2013, naik kepada 149 tahun ini," katanya.

Sehubungan itu, beliau menganggap langkah pengurusan kes denggi yang diumumkan Perdana Menteri itu secara langsung dapat membantu mengurangkan kadar kematian kes denggi.

Sementara itu, mengulas keseluruhan peruntukan RM23.3 billion yang diberi terhadap sektor kesihatan, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) yang juga pensyarah Fakuti Perubatan Universiti Malaysia, Prof Awang Bulgiba Awang Mahmud berkata ia adalah berita baik kepada pihak yang relevan.

Bagaimanapun, jika penekanan peruntukan lebih diberikan kepada usaha mencegah penyakit ianya lagi baik kerana terlalu ramai rakyat Malaysia menghidap penyakit diabetes, darah tinggi dan sakit jantung, katanya.

Bagi Pengarah Perubatan Kuala Lumpur Heart Care, Prof Datuk Dr Mohamed Rafeq Ibrahim Marican pula, peruntukan RM45.4 juta untuk menyediakan ubat-ubatan kepada pesakit yang menjalani rawatan hemodialisis adalah memang diperlukan memandangkan semakin rakyat Malaysia menghidapi penyakit buah pinggang.

"Namun begitu, kita masih tidak boleh terlalu bergantung kepada ubat-ubatan itu sahaja. Harus ada cara untuk mengubahnya dengan mengambil pelbagai langkah pencegahan kepada penyakit itu.

Daripada keseluruhan peruntukan RM23.3 bilion untuk sektor kesihatan itu hari ini, Najib berkata kerajaan turut memperuntukkan RM45.4 juta bagi penyediaan ubat-ubatan bagi pesakit yang menjalani rawatan hemodialisis kronik dan akut serta baki-baki lain untuk pembinaan dua buah hospital, 20 Klinik Kesihatan, empat Klinik Pergigian dan 30 Klinik 1Malaysia di seluruh negara.

-BERNAMA

Berita Harian X