Selasa, 7 Oktober 2014 | 11:14am

Pelajar Malaysia di Tamil Nadu dinasihat tidak keluar kampus

NEW DELHI: Pelajar Malaysia di negeri Tamil Nadu, selatan India dinasihat supaya tidak keluar dari kawasan kampus kerana keputusan rayuan bekas Ketua Menteri Tamil Nadu, J Jayalalitha di Mahkamah Rayuan Bangalore, Karnataka akan diketahui, hari ini

"Dari sumber yang diterima jika sekiranya keputusan rayuan tidak menyebelahi beliau, penyokong akan membuat rusuhan besar-besaran," kata Konsul (Pendidikan & Latihan) Malaysia di Chennai, Annie Sabrina Lasumin.

Tunjuk perasaan dan rusuhan tercetus selepas J Jayalalithaa, 66, didapati bersalah, pada 27 September lalu atas tuduhan mengumpul kekayaan melebihi kemampuannya.

Dia dihukum penjara empat tahun dan didenda Rs100 crore (AS$16.30 juta).

"Mohon semua pelajar berwaspada dan jauhi tempat-tempat berisiko seperti Central Station (Chennai) dan sebagainya," kata Annie mengumumkan melalui saluran rasmi dan media sosial.

Beliau juga menasihatkan pelajar untuk mengelak berada di kawasan orang ramai berkumpul.

"Elok duduk saja di kawasan kampus universiti buat sementara. Jika sedang berada di Tamil Nadu, tinggal di rumah dulu," katanya.

Terdapat kira-kira 5,000 pelajar Malaysia di selatan India dengan 900 daripada mereka berada di Tamil Nadu. - BERNAMA

Berita Harian X