Selasa, 30 September 2014 | 12:54am

Keselamatan pelajar, rakyat Malaysia sentiasa diutamakan - Konsul Jeneral

NEW DELHI: Konsulat Jeneral di Chennai telah berhubung secara langsung dengan semua pelajar Malaysia di negeri Tamil Nadu, selatan India, melalui pemimpin pelajar dan juga media sosial berhubung keselamatan susulan rusuhan yang meletus pada Sabtu lepas.

"Apabila ia membabitkan keselamatan, pelajar yang kami maklumkan dahulu serta rakyat Malaysia yang lain," kata Konsul Jeneral Malaysia di Chennai, Chitra Devi Ramiah.

Tunjuk perasaan dan rusuhan tercetus selepas Ketua Menteri Tamil Nadu, J.Jayalalithaa, 66, didapati bersalah, Sabtu lepas, atas tuduhan mengumpul kekayaan melebihi kemampuannya. Dia dihukum penjara empat tahun dan didenda Rs100 crore (AS$16.30 juta).

Secara kebetulan pada hari berkenaan, rakyat Malaysia mengadakan perhimpunan yang dihadiri oleh pelajar dan pemimpin pelajar dan mereka segera dimaklumkan mengenai keadaan.

Konsulat Jeneral membungkus makanan untuk mereka dan juga memastikan mereka kembali ke kolej masing-masing dengan selamat," kata beliau kepada Bernama ketika dihubungi susulan dakwaan seorang pelajar tidak menerima apa-apa bantuan daripada pejabat konsulat.

Laporan berita memetik seorang pelajar dari Kolej Pergigian Meenakshi Ammal di Chennai sebagai berkata keadaan kini buruk dan mereka mungkin kehabisan makanan.

Pelajar itu juga mendakwa mereka tidak dimaklumkan oleh Persatuan Pelajar Malaysia.

"Semua orang dimaklumkan melalui saluran rasmi yang kita ada untuk persatuan. Saya berada di perhimpunan pada hari itu dan kami mendapat maklumat dari Konsul Jeneral sendiri," kata presiden persatuan cawangan Chennai, P. Priya Dharshini, 23.

Konsul Jeneral juga menawarkan pejabat konsulat dan rumahnya untuk pelajar berlindung jika keadaan keselamatan bertambah buruk.

Bagaimanapun, keadaan di Chennai tidak seburuk seperti dilaporkan di Malaysia.

"Di Chennai, kehidupan kembali seperti sedia kala pada Sabtu," kata Priya.

Ketika ditanya mengenai bekalan makanan, pelajar intern dari Sri Ramachandra University, Porur itu, kira-kira 12km dari Chennai, berkata semua kolej mempunyai kantin sendiri.

"Kantin kolej beroperasi seperti biasa dan tidak mungkin pelajar akan kehabisan makanan," kata Priya.

Konsul (Pendidikan & Latihan) di Chennai, Annie Sabrina Lasumin juga mengumumkan melalui saluran rasmi dan media sosial bahawa keadaan di Tamil Nadu, terutama di Chennai adalah tenang.

"Kompleks membeli-belah dan premis perniagaan dibuka sejak semalam.

"Bagaimanapun, mereka dinasihatkan supaya berhati-hati sepanjang masa dan mengelak daripada berulang-alik atau mengunjungi tempat-tempat yang berisiko," kata beliau.

Terdapat kira-kira 5,000 pelajar Malaysia di selatan India, dengan kira-kira 900 daripada mereka berada di Tamil Nadu. - BERNAMA

Berita Harian X