Selasa, 23 September 2014 | 12:36pm
TIMBALAN Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah. - Foto Azhar Ramli
TIMBALAN Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah. - Foto Azhar Ramli

MOSTI bakal bentang rang undang-undang berkaitan teknologi kejuruteraan

MELAKA: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan membentangkan rang undang-undang baharu di Parlimen berkaitan bidang teknologi kejuruteraan di negara ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah, berkata rang undang-undang itu bertujuan membolehkan graduan bidang teknologi kejuruteraan khususnya di universiti teknikal negara ini diiktiraf sebagai jurutera.

Beliau berkata, pada masa ini, graduan bidang itu dianggap berkelas kedua dan tidak diiktiraf dari segi kepakaran oleh Lembaga Jurutera Malaysia.

"Graduan teknologi kejuruteraan yang keluar daripada universiti tidak diiktiraf sebagai jurutera, oleh sebab itu mereka mengalami masalah untuk menjadi seorang jurutera profesional.

"Rang undang-undang ini akan membolehkan mereka mendapat laluan yang betul untuk menjadi seorang jurutera profesional," katanya selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Mengenai Reka Bentuk dan Kejuruteraan Serentak 2014 (iDECON2014) di sini, malam tadi.

Katanya, usaha itu juga bertujuan membolehkan negara memiliki tenaga pakar dalam bidang teknologi kejuruteraan setanding dengan negara maju. - BERNAMA

Berita Harian X