Sabtu, 13 September 2014 | 6:03pm

Kashmir: Kumpulan terakhir rakyat Malaysia diterbang keluar hari ini

NEW DELHI: Kumpulan terakhir rakyat Malaysia yang terkandas di Jammu dan Kashmir, India yang dilanda banjir akan diterbangkan ke Lapangan Terbang Srinagar dan seterusnya ke New Delhi, kata Konsul Jeneral Malaysia di Chennai, Chitra Devi Ramiah.

"Enam belas pelancong Malaysia di Srinagar telah dihantar ke kediaman Gabenor dengan trak tentera. Mereka akan diterbangkan ke lapangan terbang (Srinagar) dan New Delhi hari ini," katanya kepada BERNAMA.

Beliau berkata, mereka adalah kumpulan terakhir rakyat Malaysia yang melapor diri di Pejabat Suruhanjaya Tinggi dan Konsul Jeneral untuk dipindahkan keluar dari kawasan yang dilanda banjir itu.

Chitra berkata, Malaysia Airlines juga membantu menjadualkan semula tiket penerbangan mereka untuk penerbangan balik ke Malaysia.

"Kerajaan India terutamanya pihak berkuasa di Chennai, Tamil Nadu telah banyak membantu dalam menyegerakan proses membawa pulang warga Malaysia itu dari kawasan bahaya," katanya.

Sejumlah 59 rakyat Malaysia terkandas di wilayah Himalaya itu yang sekarang ini mengalami banjir terburuk sejak 60 tahun lepas. Banjir besar itu setakat ini telah meragut lebih daripada 250 nyawa.

- BERNAMA

Berita Harian X