Selasa, 9 September 2014 | 7:10pm

Banjir: Jumlah rakyat Malaysia terkandas meningkat 54 orang

NEW DELHI: Jumlah rakyat Malaysia yang terkandas dalam bencana banjir yang melanda Jammu & Kashmir di India meningkat kepada 54 orang berbanding 29 orang semalam.

Daripada jumlah itu, 37 adalah pelajar manakala bakinya pula pelancong rakyat Malaysia, kata Chitra Devi Ramiah, Konsul Jeneral Malaysia di Chennai, Tamil Nadu.

Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Anifah Aman telahpun menghubungi rakan sejawatannya di India, Menteri Hal Ehwal Luar Sushma Swaraj, dan kerajaan India memberi sepenuh jaminan berhubung keselamatan rakyat Malaysia di sana, katanya.

"Kerajaan India menghulur sepenuh bantuan kepada Malaysia berhubung isu ini," katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.

Chitra berkata agak sukar untuk menghubungi rakan senegara dari Malaysia di sini memandangkan sistem komunikasi terputus sama sekali.

"Bekalan air dan elektrik turut terputus. Kami difahamkan sistem komunikasi mungkin pulih semula dalam tempoh 72 jam akan datang dan pejabat Konsul bekerja siang malam untuk membawa pulang rakyat Malaysia dengan selamat," katanya.

Menurut Kementerian Luar Malaysia, pelajar terbabit adalah daripada Kampus Perubatan Manipal di Karnataka, sebahagian besarnya ditaja Jabatan Perkhidmatan Awam dan MARA, di samping pelajar swasta.

Bencana banjir yang sedang melanda seluruh wilayah Himalaya, yang terburuk dalam tempoh 50 tahun, sehingga kini meragut 150 nyawa. - BERNAMA

Berita Harian X