Jumaat, 5 September 2014 | 9:21pm
ANTARA paparan di Twitter yang menggunakan #Merdeka57.
ANTARA paparan di Twitter yang menggunakan #Merdeka57.

#Merdeka57 catat 1.4 bilion 'Twitter impressions'

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata #Merdeka57 mencatatkan hampir 1.4 bilion 'Twitter impressions' dalam talian terutamanya di laman sosial sejak 19 Ogos hingga kini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkata jumlah terbabit menunjukkan kesatuan hati dan tekad rakyat Malaysia dalam meraikan Hari Kemerdekaan ke-57 tahun ini.

"Ini menunjukkan rakyat Malaysia menerima kemerdekaan sebagai sesuatu yang mesti diraikan bersama. Ia tidak dilihat dari sudut politik sempit atau kepartian.

"Saya juga lihat mereka yang mengambil bahagian dalam Tweet terdiri daripada pelbagai parti, ideologi dan kaum...ini satu perkara yang menarik," katanya kepada pemberita selepas program Bicara Pemimpin Sempena Minggu Haluansiswa Universiti Malaya (UM) di sini hari ini.

'Twitter impressions' merujuk kepada Tweet yang menggunakan hashtag berkenaan yang menjana interaksi, perkongsian dan balasan daripada orang lain dalam talian.

Tujuan # atau hashtag diletak di awal perkataan adalah bagi memudahkan carian semula sesuatu perkara yang diTweet.

Kira-kira 3,000 mahasiswa baharu UM menghadiri program yang menampilkan tokoh negara untuk menyuntik semangat dan dorongan dalam menghadapi alam pengajian baharu.

Dalam ucapannya, Ahmad Shabery yang juga alumni dan Menteri Mentor UM menggesa mahasiswa universiti itu supaya menyemarakkan semangat positif dalam diri dan orang sekeliling mereka.

"Untuk menjadi orang yang positif anda semua mesti berfikir sebelum bercakap, keep an open mind iaitu jangan cepat membuat kesimpulan, bercakap menggunakan bahasa yang menenangkan hati serta hormat perasaan orang lain...barulah orang hormat kepada kita," katanya.

Beliau turut mengajak pelajar universiti untuk mendaftar sebagai Sukarelawan Merdeka 2015 bagi menyemarakkan lagi sambutan kemerdekaan tahun depan.

"Sambutan kemerdekaan yang diadakan baru-baru ini begitu berjaya dan kita percaya di masa akan datang kita akan menjayakannya dengan berlipat ganda sekiranya ada khidmat sukarelawan terutamanya anak-anak muda yang dilahirkan selepas merdeka," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X