Ahad, 31 Ogos 2014 | 2:43pm

Ramai ucap selamat Hari Kemerdekaan menerusi media sosial

KUALA LUMPUR: Ucapan selamat menyambut ulang tahun kemerdekaan negara ke-57 memenuhi laman kebanyakan media sosial hari ini, sekali gus mencerminkan kekentalan semangat patriotik rakyat Malaysia, walaupun seluruh negara masih dilanda kepiluan berikutan kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 dan peristiwa Penerbangan MH17 ditembak jatuh baru-baru ini.

Rakyat di seluruh negara, termasuk menteri, pemimpin dan atlet menggunakan media baharu sebagai saluran untuk mengutuskan ucapan bersempena sambutan ulang tahun kemerdekaan negara kepada rakyat, sahabat handai dan saudara mara masing-masing.

Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai, mengutuskan ucapan berikut melalui laman Twitternya kepada seluruh rakyat Malaysia.

"Semoga rakyat Malaysia menyambut Hari Kemerdekaan Ke-57 dalam suasana aman dan makmur. Selamat menyambut Hari Kemerdekaan Ke-57 kepada semua rakyat Malaysia, di sini bemulanya sebuah cinta."

Presiden MIC, Datuk Seri G Palanivel, pula mengingatkan rakyat Malaysia supaya tidak sekali-kali melupakan jasa pemimpin yang berjuang mendapatkan kemerdekaan bagi menamatkan pentadbiran British di negara ini pada 1957.

"Pada saat-saat begini, kita patut mengenang kembali perjuangan para pemimpin kita, Tunku Abdul Rahman, Tun VT Sambanthan dan Tun Tan Cheng Lock, bersama-sama rakyat Malaya untuk mencapai kemerdekaan.

"Kita perlu belajar mencintai ibu pertiwi kita dan mewariskan semangat ini kepada generasi akan datang," kata Palanivel dalam laman Facebooknya hari ini.

Sementara itu, pemain badminton lelaki nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei, berkata bersempena sambutan Hari Kebangsaan kali ini, beliau akan berjuang secara habis-habisan dalam Kejohanan Badminton Dunia BWF yang sedang berlangsung di Denmark.

"Kejohanan Badminton Dunia BWF berlangsung pada Hari Kemerdekaan Ke-57. Saya akan berjuang habis-habisan untuk Malaysia," katanya melalui Twitter.

Lee akan menentang pemain China, Chen Long dalam perlawanan akhir hari ini.

Penyanyi terkenal, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin, juga mengutus ucap selamat melalui Twitter hari ini.

"Selamat Hari Merdeka Ke-57. Saya bangga menjadi rakyat Malaysia," katanya.

Sementara itu, Presiden Gerakan, Datuk Mah Siew Keong, dalam kenyataannya, berkata semangat pengasas negara ini tidak seharusnya dilupakan atau dipandang remeh.

"Janganlah kita hanya bergantung pada sesuatu kejadian buruk yang melanda dengan tiba-tiba untuk dijadikan peringatan tentang semangat patriotik dan rasa sayang kita terhadap negara tercinta ini," katanya.

Beliau juga berkata, usaha secara berhemat dan sukarela untuk menanam kesedaran dalam diri rakyat Malaysia tentang erti bernegara adalah suatu langkah berterusan yang tidak boleh sekali-kali ditinggalkan atau dipandang ringan walaupun seketika.

- BERNAMA

Berita Harian X