Khamis, 21 Ogos 2014 | 12:50pm

Solat jenazah mangsa MH17 serentak selepas solat Jumaat esok - Jamil Khir

PUTRAJAYA: Solat jenazah hadir dan solat jenazah ghaib bagi mangsa nahas MH17 yang beragama Islam akan diadakan secara serentak di seluruh negara selepas solat Jumaat, esok.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata solat jenazah hadir khusus bagi masjid yang menerima jenazah untuk tujuan disolatkan pada waktu ketibaan jenazah di destinasi pengkebumian, manakala solat jenazah ghaib boleh diadakan sebaik sahaja mendengar maklumat jenazah sudah dimandi dan dikafankan.

Beliau berkata, pasukan pengurus jenazah Muslim bagi rakyat Malaysia yang terdiri daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) sudah selamat memandi dan mengkafan serta menyembahyangkan 11 jenazah Muslim di Amsterdam, Belanda.

Bagi jenazah yang dipersetujui oleh pihak keluarga untuk dikebumikan di tanah perkuburan Islam Presint 20 di sini, solat jenazah hadir akan diselaraskan di Masjid Putra, Putrajaya.

"Setakat ini sebanyak dua jenazah akan dikebumikan di Putrajaya manakala bagi jenazah beragama Islam yang dibawa terus ke negeri masing-masing akan disolatkan di peringkat negeri dan permukiman masing-masing," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Berita Harian X