Ahad, 17 Ogos 2014 | 4:38pm

Suri rumah maut tercampak dari kereta di Setiu

SETIU: Seorang suri rumah maut selepas tercampak keluar dari kereta dalam kemalangan di Kilometer 43.5 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu berhampiran Kampung Sungai Tong di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Ab Rahman Raja Mohamad, berkata kejadian kira-kira 5.30 petang itu menyebabkan Che Minah Che Soh, 52, maut di tempat kejadian.

Beliau berkata, nahas berlaku apabila suami mangsa, Ab Manaf Husin, 57, gagal mengawal kenderaan yang dipandunya lalu merempuh tiang lampu dan terbabas ke laluan bertentangan.

"Mereka datang dari arah Kota Baharu menghala Kuala Terengganu dan terbabas di selekoh berkenaan. Ia menyebabkan mangsa yang duduk di bahagian penumpang tercampak keluar dari kenderaan dan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.

Suami mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan. - BERNAMA

Berita Harian X