Rabu, 7 September 2022 | 2:01pm

Polis tahan 5 lelaki, rampas dadah lebih RM6.4 juta

KOTA BHARU: Polis Kelantan merampas pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM6.4 juta selepas menahan lima lelaki disyaki anggota sindiket pengedaran dadah susulan serbuan terhadap beberapa lokasi berbeza sekitar bandar ini dan Selangor.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, berkata rampasan itu membabitkan 624,000 biji pil kuda, 400 biji pil Erimin dan 78,810 gram (g) dadah jenis ganja.

Katanya, tangkapan suspek pertama berusia 27 tahun, dibuat di tepi jalan Pengkalan Chepa di sini, pada 29 Ogos lalu, selain pemeriksaan menyeluruh terhadap kereta Perodua Viva miliknya.

"Hasil pemeriksaan dalam kereta terbabit, menemui beg plastik di bahagian tempat duduk penumpang hadapan yang berisi bungkusan pil kuda serta pil Erimin.

"Susulan penahanan suspek itu, polis meneruskan serbuan terhadap sebuah rumah di Kampung Pasir Jelatang, Kubang Kerian di sini, sebelum menemukan 100 lagi bungkusan pil kuda dan 80 bungkusan ganja.

"Susulan penahanan itu, polis menahan tiga lagi lelaki di sekitar Kota Bharu, disyaki terbabit dengan kumpulan penagihan dadah, masing-masing ditahan di Pengkalan Chepa, Kampung Ketapang dan Pasir Tumboh," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini, hari ini.

Muhamad Zaki berkata, seorang lagi suspek ditahan di Seri Kembangan, Serdang, Selangor.

Beliau berkata, saringan kencing terhadap kelima-lima suspek berusia 27 sehingga 39 tahun itu adalah negatif, tetapi mereka memiliki rekod jenayah lampau termasuk penyalahgunaan dadah.

"Mereka ditahan reman selama 13 hari sehingga 11 September untuk siasatan kes mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988.

"Berdasarkan rampasan dadah, ia boleh digunakan oleh 703,210 penagih. Selain itu, kami percaya bekalan dadah itu adalah untuk pasaran tempatan Kelantan dan Lembah Klang," katanya.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi menjejaki saki baki anggota sindiket lain pengedaran dadah terbabit.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, (tengah) melihat dadah yang dirampas dalam serbuan sekitar Kota Bharu
Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, (tengah) melihat dadah yang dirampas dalam serbuan sekitar Kota Bharu
Berita Harian X