Selasa, 6 September 2022 | 11:36pm
PATI warga Filipina diusir pulang melalui Pelabuhan Sandakan, Sabah hari ini. - Foto NSTP/Hazsyah Abdul Rahman
PATI warga Filipina diusir pulang melalui Pelabuhan Sandakan, Sabah hari ini. - Foto NSTP/Hazsyah Abdul Rahman

750 PATI Filipina diusir pulang

SANDAKAN: Serama 750 pendatang asing tanpa izin (PATI) diusir ke negara asal menerusi Program Pengusiran PATI melalui Pelabuhan Sandakan, hari ini.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen (Imigresen), Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, berkata program itu membabitkan pengusiran tahanan warganegara Filipina melalui laut.

Menurutnya, semua PATI ditahan di Depot Imigresen Tawau, Sandakan, Papar dan Kota Kinabalu sejak 2020.

"Program pengusiran ini diuruskan melalui Pelabuhan Sandakan ke Pelabuhan Zamboanga, Filipina.

"Pecahan tahanan yang diusir pada hari ini membabitkan tahanan lelaki seramai 638 orang, perempuan 81 orang, kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah 30 orang dan kanak-kanak berumur 23 bulan ke bawah seorang," katanya pada sidang media di Pelabuhan Sandakan, hari ini.

Menurutnya, bagi tempoh 2022, Imigresen Sabah mengusir 1,519 PATI pelbagai warganegara membabitkan tiga jenis pengusiran iaitu pengusiran melalui udara, laut dan darat.

"Bermula 1 Januari 2022 sehingga 29 Ogos 2022, Imigresen Sabah berjaya melaksanakan program pengusiran sebanyak 67 kali.

"Dalam tempoh itu seramai 332 orang diusir melalui udara, 1,186 pengusiran melalui jalan laut dan seorang menggunakan jalan darat.

"Proses pengusiran tahanan di semua Depot Imigresen di Negeri Sabah tertangguh sebelum ini berikutan negara-negara asal tahanan memberikan alasan negara mereka sedang berhadapan dengan ancaman pandemik COVID-19," katanya.

Menurutnya, program pengusiran akan diteruskan dari semasa ke semasa.

"Ketika ini terdapat 6,200 tahanan di semua depot di Sabah.

"Justeru program pengusiran akan diteruskan sehingga semua tahanan berkenaan dihantar pulang," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata terdapat 15,166 tahanan PATI di seluruh negara.

Daripada jumlah ini 7,200 ditahan di depot di Sabah. Sepanjang tempoh 2022 pula, statistik pengusiran di seluruh negara berjumlah 22,448 orang dengan majoriti warganegara Indonesia 12,071, Myanmar (2,781), Vietnam (1,652), Thailand (1,551) dan Bangladesh (7,073).

Berita Harian X