Sabtu, 24 September 2022 | 4:20pm
Rakaman CCTV menunjukkan gerak-geri seorang lelaki di dalam kedai barangan kemas, sebelum melarikan rantai tangan bernilai hampir RM30,000 di Jalan Putra, dekat Mergong Khamis lalu. - Foto ihsan PDRM
Rakaman CCTV menunjukkan gerak-geri seorang lelaki di dalam kedai barangan kemas, sebelum melarikan rantai tangan bernilai hampir RM30,000 di Jalan Putra, dekat Mergong Khamis lalu. - Foto ihsan PDRM

CCTV bantu polis selesaikan 2 kes samun kedai emas

ALOR SETAR: Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) membantu polis menyelesaikan dua kes samun di kedai emas di sekitar daerah ini sehingga tertangkapnya suspek dalam tempoh singkat.

Dua kes itu membabitkan cubaan seorang lelaki melarikan rantai tangan emas bernilai hampir RM30,000 di Mergong pada Khamis lalu, selain kes hampir sama di kedai emas di kawasan Tandop, di sini, pada 15 September lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir, berkata berkata dalam kejadian 15 September lalu, dua lelaki ditahan selepas lapan jam melarikan tiga utas gelang tangan di sebuah kedai emas di kawasan Tandop.

Beliau berkata, rakaman CCTV di kedai emas terbabit merakam kejadian itu sebelum suspek ditahan di kawasan perumahan di Gurun ketika menaiki sebuah Proton X50 pada jam 8 malam hari kejadian.

"Dalam kejadian Khamis lalu pula, seorang lelaki ditahan kerana melarikan rantai tangan emas bernilai hampir RM30,000 di sebuah kedai emas di Jalan Putra, Mergong.

"Namun kes kedua masih dalam siasatan dan kita percaya suspek melakukan kegiatan itu secara solo menggunakan kereta Volkswagen miliknya sendiri.

"Berbeza kes pertama, dua suspek itu sanggup menyewa kenderaan semata-mata untuk melakukan kegiatan itu," katanya ketika ditemui di Cawangan Trafik, Ibu Pejabat Polis (IPD) Kota Setar, hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Shukri menasihatkan pemilik premis bukan saja kedai emas supaya memanfaatkan kemudahan CCTV untuk membantu polis menyelesaikan kes sekiranya berlaku sebarang kegiatan jenayah.

"Bukan sekadar memasang CCTV, tetapi ia perlulah diselenggara dengan baik supaya berfungsi dengan sempurna sekali gus membantu polis dalam siasatan sehingga tertangkapnya suspek dalam jangka waktu singkat," katanya .

Selain itu, Ahmad Shukri mengakui penjenayah kini sama ada membabitkan kes samun atau dadah, cenderung menggunakan kenderaan sewa untuk mengelak dikesan pihak berkuasa.

Justeru, beliau menasihatkan pengusaha kereta sewa mengambil maklumat lebih terperinci daripada penyewa sebelum menyerahkan kenderaan kepada penyewa, sekali gus memudahkan pihak berkuasa mengesan sekiranya ia terbabit jenayah.

Memberi contoh, katanya dalam dua kes termasuk rampasan dadah di Kuala Kedah baru-baru ini, suspek turut dikesan menggunakan kereta sewa untuk membawa bekalan dadah.

Berita Harian X