Khamis, 25 Ogos 2022 | 10:34am
 Dadah yang dirampas dalam Op Otto. - Foto ihsan PDRM
Dadah yang dirampas dalam Op Otto. - Foto ihsan PDRM

Kondo dikawal ketat lokasi simpan, proses dadah

KUALA LUMPUR: Sindiket pengedaran dadah yang aktif sejak empat bulan lalu menjadikan kondominium dikawal ketat pengawal keselamatan sebagai tempat penyimpanan dan pembungkusan bahan terlarang itu.

Taktik itu dikesan selepas seorang lelaki berusia 48 tahun ditahan polis dalam Op Otto oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur dengan rampasan dadah bernilai RM708,900.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim, berkata operasi bermula 10 malam pada Isnin hingga 12.35 tengah malam kelmarin melakukan dua serbuan di sekitar Kuala Lumpur dan berjaya menahan seorang lelaki serta merampas dadah syabu serta pil ecstacy.

Menurutnya, serbuan pertama dijalankan di Jalan Vista Mutiara, Kepong dan menahan suspek yang mana pemeriksaan di dalam kondominium itu menemukan 1,000 biji pil ecstacy dan 123.87 gram syabu.

"Susulan itu, polis kemudian menyerbu sebuah lagi tempat di Jalan Perkasa 3, Bukit Jalil dan menemui 13.59 kilogram (kg) pil ecstacy serta syabyu seberat 1.04 kg.

"Ujian air kencing ke atas suspek mendapati dia positif dadah methamphetamine dan memiliki rekod jenaya mengikut Seksyuen 135 Akta Kastam 1967," katanya dalam kenyataan hari ini.

Azmi berkata, bekalan dadah diperoleh dari pengedar dadah tempatan untuk pasaran di sekitar Lembah Klang.

"Suspek tidak memiliki pekerjaan tetap dan menjadikan kegiatan pengedaran dadah sebagai punca pendapatan," katanya.

Beliau berkata, suspek direman seminggu sehingga 29 Ogos ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.

Berita Harian X