Jumaat, 19 Ogos 2022 | 5:43pm

Mahkamah Tolak rayuan anak JJ

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan permohonan ibu Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Mohd Jarjis untuk memasukkan tiga juta saham syarikat Rantai Wawasan Sdn Bhd dalam senarai harta pusaka peninggalan anaknya.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Azizah Nawawi, Datuk P Ravinthran dan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali juga mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan Aminah Abdullah untuk mengisytiharkan bahawa enam juta saham dalam syarikat Alpine Motion Sdn Bhd dan dua saham dalam syarikat Ivory Insight Sdn Bhd adalah sebahagian daripada harta pusaka peninggalan Allahyarham.

Hakim Mohd Nazlan yang membacakan keputusan sebulat suara pada prosiding dalam talian hari ini, menolak rayuan yang dikemukakan oleh dua anak Jamaluddin, Ikhwan Hafiz Jamaludin dan Nur Anis Jamaludin serta rayuan balas oleh Aminah.

Panel itu yang diketuai Hakim Azizah memerintahkan kedua-dua pihak menanggung kos masing-masing.

Aminah merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk memasukkan saham Alpine Motion dan Ivory Insights sebagai sebahagian daripada harta pusaka anaknya manakala cucunya merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memasukkan saham Rantai Wawasan dalam senarai harta pusaka bapa mereka.

Hakim Mohd Nazlan yang membacakan alasan penghakiman, berkata saham Rantai Wawasan harus dimasukkan ke dalam harta pusaka Jamaluddin sebagai surat ikatan amanah yang diwujudkan pada 2009 ketika Allahyarham masih hidup adalah sah manakala surat ikatan amanah yang diwujudkan pada 2015 oleh anak-anak Jamaluddin selepas kematian arwah, adalah terbatal dan tidak sah.

Mengenai saham Alpine Motion dan Ivory Insights, beliau berkata bukti menunjukkan saham berkenaan tidak pernah menjadi milik Jamaluddin dan tidak ada bukti pembayaran yang dibuat oleh Allahyarham untuk saham itu.

Dalam saman yang difailkan pada 3 Jan 2019, Aminah, 87, mendakwa Nur Anis dan Ikwan Hafiz sebagai pentadbir bersama harta pusaka peninggalan Jamaludin, telah gagal memasukkan saham ketiga-tiga syarikat sebagai harta pusaka dalam senarai aset di dalam surat kuasa mentadbir selepas Allahyarham meninggal dunia pada 4 April 2015, dan juga gagal memasukkan saham itu sebagai liabiliti sejak 6 Julai 2017.

Aminah menuntut tiga juta saham Rantai Wawasan bernilai RM1.44 bilion, enam juta saham Alpine Motion bernilai RM233 juta dan dua saham Ivory Insights bernilai RM80 juta untuk dimasukkan ke dalam harta pusaka anaknya.

Dalam pernyataan tuntutannya, Aminah mendakwa cucunya gagal memasukkan saham tiga syarikat - Rantai Wawasan, Alpine Motion dan Ivory Insight - sebagai sebahagian daripada harta pusaka si mati dengan niat untuk menafikan hak dan kepentingannya sebagai benefisiari.

Jamaluddin yang lebih dikenali sebagai JJ, adalah bekas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, terbunuh dalam nahas helikopter pada 4 April 2015.

Peguam Wan Zafran Pawancheek dan Pawancheek Marican mewakili Aminah manakala sepasukan peguam diketuai Saheran Suhendran mewakili Nur Anis dan Ikhwan Hafiz. – BERNAMA

Berita Harian X