Selasa, 9 Ogos 2022 | 5:42pm
Keadaan kereta mangsa yang terbabas dan terhumban dalam gaung ketika ditemui dekat Jemaluang, Mersing pagi tadi. - Foto tular
Keadaan kereta mangsa yang terbabas dan terhumban dalam gaung ketika ditemui dekat Jemaluang, Mersing pagi tadi. - Foto tular

Dua sahabat temukan Myvi biru dalam gaung

MERSING: Dalam tempoh 45 minit, dua sahabat menemukan Perodua Myvi dipandu Allahyarham Zahari Zakaria yang terjatuh ke dalam gaung sedalam kira-kira 10 meter di di Jalan Jamaluang menghala ke Kota Tinggi, awal pagi hari ini.

Saksi kejadian Muhammad Syahrulnizam Zainal, 31, berkata, dia dan rakannya Anas Malik, 26, menemui kereta dipandu warga emas berusia 63 tahun dalam keadaan terbalik kira-kira 7.15 pagi hari ini.

Katanya, mereka yakin kereta berkenaan adalah Perodua Myvi dilaporkan hilang berdasarkan nombor pendaftaran WC 9129 E warna dan jenis kereta.

"Kami daripada Team NGO Prihatin menghubungi keluarga mangsa malam semalam dan meminta izin untuk menyertai misi mencari Allahyarham Zahari.

"Kami susun perjalanan mengikut petunjuk diberikan anak mangsa dan kami bermula pada 6.30 pagi mencari di Jalan Endau sebelum berubah lokasi dengan menyusur menaiki kenderaan pelbagai guna di Jalan Jamaluang menghala Kota Tinggi.

"Sampai di kilometer 23 jalan berkenaan, kami ternampak kenderaan terbalik di gaung sedalam

kira-kira 10 meter di sisi kiri kenderaan," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Mersing di sini hari ini.

Saksi kejadian, Muhammad Syahrulnizam Zainal.
Saksi kejadian, Muhammad Syahrulnizam Zainal.

Katanya, mereka turun ke lokasi berkenaan dan mendapati tingkap depan dan belakang kereta pecah.

"Kami cuba melihat ke dalam kereta berkenaan namun tidak berjaya dan tidak mahu mengusiknya kerana mahu menghubungi keluarga dan pihak polis terlebih dahulu.

"Sebaik bomba dan polis tiba, saya melihat mangsa sudah tidak sedarkan diri dan berada di tempat duduk pemandu yang kemudian dialihkan ke dalam beg mayat polis," katanya.

Katanya, ini adalah kali ketiga NGO itu membantu menguruskan jenazah mangsa yang menghadapi kemalangan sama di sekitar Mersing.

"Sebelum ini kami juga membantu mencari Allahyarham Muhammad Iman Aqmar Dzulkarnain di sekitar Mersing sebelum dilaporkan ditemukan di Nenasi Pahang dan kami membantu menguruskan mayatnya dalam kejadian itu.

"Sebelum itu pada Febuari 2016, saya membantu mencari dan menguruskan mayat empat sekawan yang dilaporkan terbabit kemalangan di Jalan Mersing Kota Tinggi," katanya.

Berita Harian X