Sabtu, 6 Ogos 2022 | 11:02pm
Kepulan awan hitam dirakam sebelum ribut melanda Pantai Geting. - Foto tular
Kepulan awan hitam dirakam sebelum ribut melanda Pantai Geting. - Foto tular

Awan hitam, ribut badai Pantai Geting terbangkan khemah program

TUMPAT: Kawasan Pantai Geting, di sini, yang turut menjadi lokasi penganjuran Program Bekwoh Keluarga Malaysia Rakyat Tumpat dilanda ribut malam tadi.

Keadaan itu menimbulkan suasana cemas dalam kalangan pengunjung serta peserta program terbabit, dengan beberapa khemah turut diterbangkan angin, selain satu khemah bersaiz besar turut ranap.

Ribut yang berlaku kira-kira jam 7 malam itu turut menyebabkan pengunjung lari mencari kawasan perlindungan selamat bagi mengelak sebarang kecederaan.

Difahamkan, persembahan dikir barat yang menjadi acara kemuncak program di Pantai Geting itu juga terpaksa dibatalkan, malah beberapa hadiah cabutan bertuah termasuk sebuah motosikal yang sepatutnya diumumkan malam ini turut tergendala.

Seorang peniaga air, Wan Sapiah Wan Yusoff, 43, berkata selepas menyedari cuaca tiba-tiba berubah menjadi kelam dan mendung seolah-olah hendak hujan, dia segera mengemas semua peralatan menjual air balangnya.

"Saya segera kemaskan barang kerana risau melihatkan awan hitam yang luar biasa kerana bimbang akan berlaku ribut kencang.

"Sebaik selesai mengemas, kepala angin datang dari arah pantai menuju daratan dan menerbangkan semua termasuk khemah yang terpasang.

"Keadaan menjadi huru-hara kerana orang ramai panik sambil berlari menyelamatkan diri dan nasib baik ketika itu pengunjung sudah tidak ramai," katanya ketika dihubungi.

Wan Sapiah berkata, ribut kencang disusuli dengan hujan lebat itu berlaku hampir setengah jam sebelum keadaan kembali tenang.

Kepulan awan hitam dirakam sebelum ribut melanda Pantai Geting. - Foto tular
Kepulan awan hitam dirakam sebelum ribut melanda Pantai Geting. - Foto tular

Beberapa khemah yang dipasang untuk satu program di kawasan Pantai Geting rosak akibat ribut, dengan ada antaranya diterbangkan angin kencang. - NSTP/IHSAN PEMBACA
Beberapa khemah yang dipasang untuk satu program di kawasan Pantai Geting rosak akibat ribut, dengan ada antaranya diterbangkan angin kencang. - NSTP/IHSAN PEMBACA

Katanya, sejurus itu, kelihatan petugas program dan pekerja yang berkaitan segera mengemas segala peralatan termasuk menanggalkan khemah walaupun sudah koyak.

Seorang pengunjung yang ingin dikenali Aizat, 30, berkata, ketika kejadian dia dan isteri serta anak mereka berjalan ke kereta kerana ingin pulang selepas beriadah di pantai itu.

"Melihatkan keadaan awan yang mendung seakan ingin hujan, kami segera bersiap untuk pulang dan ketika hampir tiba di kereta, angin kuat datang tiba-tiba dan situasi nampak kelam kabut.

"Kami terus masuk ke dalam kereta, namun tidak berani meneruskan perjalanan kerana risau ditimpa pokok atau sebagainya sebaliknya terus menunggu sehingga keadaan perlahan-lahan reda," katanya.

Terdahulu, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, merasmikan Program Bekwoh Keluarga Malaysia Rakyat Tumpat di kawasan pantai itu.

Berita Harian X