Ahad, 31 Julai 2022 | 2:46am

Penganggur warga asing curi ayam guna kereta curi

KUALA LUMPUR: Polis menahan dua lelaki warga asing, Khamis lalu, kerana disyaki terbabit kes curi ayam proses daripada beberapa peniaga sekitar Ampang Jaya, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, berkata terdahulu pihaknya menerima laporan daripada seorang peniaga lelaki berusia 23 tahun pada 17 Jun lalu selepas mendapati beg plastik berisi bahagian dada ayam hilang dari kedainya.

"Mangsa menyedari beg plastik seberat 18 kilogram (kg) berisi dada ayam segar yang baru dihantar pembekal ke kedai serbanekanya di Jalan Pandan Cahaya, Ampang, hilang dan mengesyaki ia dicuri.

"Kejadian disedari kira-kira jam 7.30 pagi apabila mangsa baru sampai ke kedainya. Kejadian itu menyebabkan mangsa kerugian kira-kira RM350," katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Beliau berkata, hasil siasatan dijalankan, polis berjaya menahan seorang lelaki warga asing berusia 26 yang juga seorang penganggur disyaki mendalangi kegiatan itu, di Taman Cahaya, Ampang, Khamis lalu.

"Polis turut menahan seorang lagi lelaki warga asing berusia 46 tahun disyaki berperanan sebagai pembeli bekalan ayam yang dicuri suspek pertama," katanya.

Selain itu, beliau berkata, polis juga merampas beberapa barang kes serta sebuah kereta Proton Saga dipercayai digunakan suspek pertama ketika melakukan kegiatan mencuri ayam.

"Malah, hasil semakan mendapati kenderaan itu adalah kenderaan curi yang dilaporkan hilang di Taman Cempaka, Ampang, Jun lalu.

"Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek pertama positif dadah jenis methamphetamine, selain mempunyai dua rekod jenayah lampau," katanya.

Mohamad Farouk berkata, kedua-dua suspek kini direman empat hari hingga 1 Ogos ini bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 379 dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Dengan penahanan suspek, beliau berkata, polis percaya berjaya menyelesaikan tiga kes curi ayam proses yang dilaporkan berlaku di sekitar Ampang Jaya.

Berita Harian X