Khamis, 28 Julai 2022 | 10:50am

Wanita maut ketika jalani rawatan tradisional

AMPANG JAYA: Usaha seorang wanita untuk mengubati penyakitnya secara tradisional, bertukar tragedi apabila maut ketika menerima rawatan itu di Pandan Perdana, di sini, semalam.

Difahamkan, mangsa mengalami serangan histeria sejak lapan tahun lalu, dan pernah mendapatkan rawatan pakar psikiatri di hospital, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, berkata hasil siasatan awal mendapati mangsa dipercayai pergi ke rumah suspek untuk mendapatkan rawatan tradisional sejak seminggu lalu.

Beliau berkata, terdahulu polis menerima panggilan daripada seorang wanita pada jam 6.35 petang memaklumkan bahawa anak perempuannya yang berusia 41 tahun meninggal dunia.

"Mangsa kemudian ditemui dalam keadaan terbaring tidak sedarkan diri di ruang tamu rumah, dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang hadir di tempat kejadian.

"Siasatan di lokasi masih berjalan dan punca kejadian juga sedang disiasat," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Susulan itu, Mohamad Farouk berkata, polis menahan seorang wanita berusia 51 tahun yang bekerja sebagai pengamal perubatan tradisional, kira-kira jam 7.20 malam tadi.

"Suspek akan ditahan reman di mahkamah Ampang Jaya, hari ini, bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, iaitu membunuh," katanya.

Berita Harian X