Sabtu, 16 Julai 2022 | 2:54pm
Tangkap layar rakaman CCTV yang memaparkan suspek melarikan barang kemas selepas berpura-pura mahu melihat barangan itu di sebuah kedai emas di Teluk Intan. - Foto PDRM
Tangkap layar rakaman CCTV yang memaparkan suspek melarikan barang kemas selepas berpura-pura mahu melihat barangan itu di sebuah kedai emas di Teluk Intan. - Foto PDRM

Taktik tak menjadi

TELUK INTAN: Seorang lelaki ditahan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dalam tempoh 24 jam, selepas melarikan barang kemas bernilai RM35,000 di kedai emas di Jalan Mahkota, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri, berkata kejadian berlaku jam 4.30 petang ketika pemilik kedai emas berkenaan iaitu wanita berusia 50 tahun dan tiga pekerjanya sedang menjaga kedai sebelum didatangi suspek.

Menurutnya, suspek kemudiannya berpura-pura bertanyakan untuk melihat beberapa utas rantai tangan sebelum pekerja premis terbabit memberi beberapa utas untuk dilihat oleh suspek.

"Selepas itu suspek tiba-tiba membawa barang kemas berkenaan iaitu dua rantai tangan dan seutas rantai leher keluar daripada kedai tanpa membayarnya sebelum disedari pemilik kedai yang kemudiannya terus menjerit meminta tolong.

"Suspek melarikan diri dengan menaiki kereta Proton Iswara Aeroback yang diletakkan kira-kira 50 meter dari kedai sebelum menghilangkan diri," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota JSJ IPK Perak berjaya menangkap lelaki terbabit di kawasan perumahan Jalan Lapangan Siber, Bandar Cyber di Ipoh, semalam.

"Penahanan suspek turut merampas barang kes yang dilaporkan hilang," katanya.

Ahmad Adnan berkata, semakan lanjut nombor pendaftaran kenderaan adalah atas nama suspek yang mempunyai empat rekod lampau membabitkan kes narkotik.

"Ujian awal saringan air kencing juga mendapati suspek positif methamphetamine dan dia direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga Jumaat depan untuk membantu siasatan lanjut," katanya.

Berita Harian X