Khamis, 14 Julai 2022 | 6:09pm
Antara hasil rampasan dadah dianggarkan bernilai RM8.07 juta menerusi serbuan ke sebuah makmal dadah haram di sekitar Lembah Klang, Jumaat lalu. - Foto ihsan polis
Antara hasil rampasan dadah dianggarkan bernilai RM8.07 juta menerusi serbuan ke sebuah makmal dadah haram di sekitar Lembah Klang, Jumaat lalu. - Foto ihsan polis

Polis bongkar makmal haram, rampas dadah RM8.07 juta

KUALA LUMPUR: Polis membongkar sebuah makmal dadah haram dan merampas lebih 141 kilogram (kg) dadah dianggarkan bernilai RM8.07 juta dalam lima serbuan secara berasingan di sekitar Lembah Klang, Jumaat lalu.

Menerusi serbuan itu, polis turut menahan 11 ahli sindiket terdiri sembilan lelaki tempatan, seorang lelaki warga Vietnam dan seorang wanita warga Vietnam berusia 22 hingga 38 tahun.

Setiausaha Polis Malaysia, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin, berkata serbuan itu dilakukan sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dengan kerjasama JSJN Selangor dan JSJN Kuala Lumpur.

"Dalam operasi ini, polis berjaya merampas sejumlah 141.4 kg dadah terdiri 106.3 kg ketamin, 18.6 kg pil erimin 5 serta 16.5 kg pil ekstasi dianggarkan bernilai RM8.07 juta.

"Sindiket ini dipercayai mula aktif sejak awal Februari lalu dan semua dadah yang dirampas dipercayai boleh digunakan oleh lebih setengah juta penagih dadah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, modus operandi sindiket berkenaan adalah dengan menjadikan premis kediaman sebagai tempat memproses dan pembungkusan serta stor simpanan, sebelum diedarkan untuk pasaran tempatan terutama sekitar Lembah Klang.

"Semakan mendapati dua suspek mempunyai rekod jenayah lalu berkaitan dadah dan jenayah lain serta kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

"Semua suspek direman tujuh hari bermula 9 Julai lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Dalam operasi itu, katanya, polis turut menyita pelbagai aset sindiket terdiri lapan kenderaan dianggarkan bernilai RM522,800, wang tunai RM20,330 serta barangan kemas bernilai RM39,201 dengan nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan berjumlah RM8.65 juta.

"Pihak JSJN akan meneruskan siasatan untuk mengesan saki baki ahli sindiket ini," katanya yang turut meminta masyarakat terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah yang berlaku di sekeliling mereka melalui Hotline JSJN di talian 012-2087222.

Berita Harian X