Ahad, 3 Julai 2022 | 4:10pm

Samun kedai serbaneka guna pistol mainan

SUNGAI PETANI: Bermodalkan pistol mainan, dua beradik dikesan mencari 'pendapatan' dengan melakukan kegiatan samun di kedai serbaneka 24 jam sekitar daerah Kuala Muda sejak tiga minggu lalu untuk menampung hidup.

Mereka yang masing-masing berusia 23 dan 26 tahun serta tidak mempunyai pekerjaan itu turut dikesan menyamun untuk mendapatkan wang bagi membeli bekalan dadah.

Bagaimanapun, perbuatan jahat dua beradik berkenaan terbongkar apabila mereka ditahan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda, Ahad minggu lalu selepas 16 jam melakukan samun di sebuah kedai serbaneka.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, polis sebelum itu menerima maklumat daripada seorang pekerja kedai serbaneka 24 jam di Taman Setia Budi yang memaklumkan dia menjadi mangsa samun ketika bertugas pada jam 1.30 pagi.

Beliau berkata, mangsa mendakwa dia yang sedang bertugas di kaunter didatangi seorang lelaki yang ketika itu mahu membayar barang dibelinya.

"Ketika mahu memulangkan baki, suspek secara tiba-tiba mengeluarkan objek seperti pistol dan mengacukannya ke arah pekerja terbabit sebelum dia mengambil semua wang dalam laci kaunter yang berjumlah RM100.

"Suspek kemudian terus melarikan diri dan mangsa membuat laporan polis berhubung kejadian terbabit," katanya ketika sidang media di pejabatnya, hari ini.

Susulan itu, Zaidy berkata, polis mengesan dan menahan dua lelaki jam 5.30 petang hari yang sama selepas melakukan serbuan di tepi Sungai Pinang Tunggal, Tikam Batu.

"Siasatan lanjut mendapati dua suspek berkenaan adalah adik beradik dan kita mendapati ketika kejadian si abang yang bersenjatakan pistol mainan masuk ke premis untuk melakukan samun.

"Adiknya pula dipercayai menunggu di luar premis dan akan memecut motosikal selepas selesai melakukan kegiatan samun mereka," katanya.

Beliau juga berkata, pemeriksaan lanjut juga mendapati motosikal digunakan dua beradik terbabit turut dilaporkan hilang pada hari sama mereka melakukan kegiatan samun itu.

"Kita percaya suspek mencuri motosikal terlebih dulu bagi memudahkan pergerakan untuk melakukan jenayah dan dengan penahanan mereka tiga kes samun kedai serbaneka 24 jam sekitar daerah Kuala Muda berjaya diselesaikan.

"Selain itu, kita turut dapat selesaikan satu kes khianat serta satu kes curi motosikal yang dilakukan suspek dan siasatan lanjut mendapati dua beradik berkenaan positif methamphetamine," katanya.

Katanya, polis merampas sepucuk pistol mainan hitam, beg pinggang biru, peralatan mencuri motosikal, sebuah motosikal dan tiga plastik lutsinar mengandungi syabu seberat 2.62 gram.

Menurutnya, mereka direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan (tengah) menunjukkan pistol mainan digunakan dua beradik ketika melakukan samun di kedai serbaneka 24 jam. - NSTP/Izad Thaqif Hassan
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan (tengah) menunjukkan pistol mainan digunakan dua beradik ketika melakukan samun di kedai serbaneka 24 jam. - NSTP/Izad Thaqif Hassan
Berita Harian X