MELAKA: Seorang sub kontraktor maut selepas kereta dipandunya hilang kawalan dan terbalik dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di jalan Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin berhampiran Melaka Sentral, di sini, hari ini.
Kejadian kira-kira jam 1.30 petang itu menyebabkan mangsa, Nordin Mohamed Yusop, 39, maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah dialami.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kemalangan itu membabitkan Perodua Kancil dipandu mangsa, Mercedes Benz, Perodua Axia serta Perodua Alza.
Beliau berkata, sebelum kejadian mangsa dikatakan memandu dari arah persimpangan lampu isyarat Bukit Palah menghala Melaka Sentral.
"Siasatan dijalankan mendapati semasa melalui kawasan hadapan sebuah gedung tekstil kereta dipandu mangsa hilang kawalan lalu merempuh Mercedes Benz dipandu lelaki berusia 33 tahun yang ketika itu sedang berhenti menunggu lampu isyarat.
"Akibat rempuhan itu, kenderaan terbabit berlanggar dengan dua lagi kereta di hadapannya iaitu Perodua Axia dan Perodua Alza," katanya mengesahkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka berkata, sebuah jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah bersama enam anggota dikejarkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi membawa keluar mangsa yang sejurus menerima panggilan kecemasan.
"Sebaik tiba, seorang lelaki didapati tersepit di tempat duduk hadapan dalam keadaan kereta yang terbalik sebelum kerja mengeluarkan mangsa dilakukan.
"Pintu kenderaan kemudian diumpil selain bomba turut menggunakan alatan khas. Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya