Rabu, 29 Jun 2022 | 2:05pm
Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed (kanan) pada Majlis Pelancaran Kempen AntiScam PDRM 2022 Peringkat Kontinjen Selangor di Shah Alam. - Foto NSTP/Faiz Anuar
Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed (kanan) pada Majlis Pelancaran Kempen AntiScam PDRM 2022 Peringkat Kontinjen Selangor di Shah Alam. - Foto NSTP/Faiz Anuar

Selangor rekod RM59.6 juta kerugian tipu dalam talian

SHAH ALAM: Jenayah penipuan dalam talian atau scam di Selangor terus berada pada tahap membimbangkan apabila mencatatkan kerugian sehingga RM59.6 juta dalam tempoh enam bulan tahun ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed, berkata jumlah kerugian itu membabitkan 1,354 kes dengan penipuan paling tinggi adalah Macau Scam.

Katanya, jumlah kes itu menyumbang kepada 75 peratus daripada keseluruhan kes komersial di negeri ini.

"Ini bukan kerugian yang sedikit dan perlu diambil berat dan diatasi secara bersama semua peringkat termasuk masyarakat.

"Kita tidak boleh berdiam diri kerana ini baru satu kontinjen Selangor sahaja. Daripada jumlah berkenaan (RM59.6 juta), kita nak tahu berapa banyak duit kita yang sudah mengalir ke luar negara.

"Hasil kajian dan siasatan kita, sebahagian besarnya telah mengalir ke luar negara dan boleh bayangkan berapa banyak kerugian yang dialami ekonomi negara kita," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Kempen Anti-Scam Polis Diraja Malaysia (PDRM) Peringkat Kontinjen Selangor, hari ini.

Beliau berkata, lebih 1,700 individu sudah ditangkap bagi tempoh Januari hingga Jun ini dengan kebanyakan membabitkan keldai akaun.

Menurutnya, berikutan scammer menggunakan akaun individu lain, ia menyukarkan pembuktian di mahkamah.

"Justeru, saya sebelum ini ada menyebut mengenai perlunya membuat pindaan atau menggubal undang-undang yang lebih sesuai dengan perkembangan semasa kerana undang-undang kita tidak 'cover' jenayah dalam talian," katanya.

Justeru Arjunaidi berkata, polis meminta semua pihak memainkan peranan sewajarnya ( termasuk penggubalan undang-undang bertepatan) selain kesedaran orang ramai.

"Kita juga berharap tidak kira pihak bank atau lain yang terbabit dalam sepanjang proses ini (buka, pembayaran atau pemindahan) menyekat perkara ini daripada berlanjutan," katanya.

Dalam pada itu, Arjunaidi memaklumkan sebanyak 392 unit papan iklan di seluruh Selangor akan memaparkan klip video kempen antiscam PDRM.

Katanya, kempen selama sebulan itu diharapkan mendapat kerjasama daripada semua pihak dalam memerangi jenayah scam di negeri ini.

Berita Harian X