Sabtu, 18 Jun 2022 | 5:49pm

RM155 juta kerugian akibat Macau Scam - Bukit Aman

KUALA LUMPUR: Penipuan Macau Scam mencatatkan kerugian tertinggi berbanding jenayah penipuan lain, apabila lebih RM155 juta nilai kerugian direkodkan melalui 3,604 kes sepanjang tempoh lima bulan pertama tahun ini.

Timbalan Pengarah (Jenayah Siber dan Multimedia) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Victor Sanjos berkata, daripada jumlah kes itu, seramai 1,181 tangkapan dibuat dengan 966 individu sudah dituduh di mahkamah.

"Jumlah kerugian akibat kes Macau Scam jauh lebih tinggi berbanding kes tipu pelaburan dengan kerugian RM97.9 juta membabitkan 1,493 kes dalam tempoh sama.

"Selain itu, Love Scam juga merekodkan 361 kes dengan kerugian RM17.1 juta, manakala jenayah e-dagang mencatatkan 3,835 kes membabitkan kerugian berjumlah RM48.2 juta," katanya.

Victor berkata, pihaknya mengesan modus operandi baharu Macau Scam yang membuat panggilan penyamaran daripada pejabat insurans.

"Mangsa dihubungi sindiket dikatakan membuat tuntutan insurans palsu sebelum panggilan itu kononnya disambung kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

"Mangsa juga dikatakan terbabit aktiviti menyalahi undang-undang atau terbabit individu yang ditahan bagi sesuatu kesalahan yang serius," katanya.

Beliau berkata, pihak yang menyamar sebagai polis meminta mangsa menyerahkan maklumat perbankan secara terperinci atau pindahan ke akaun bank pihak ketiga untuk siasatan.

"Mangsa hanya menyedari ditipu selepas mendapati wang dalam akaun bank miliknya sudah dipindahkan ke akaun pihak ketiga dan tidak dapat lagi untuk menghubungi suspek.

"Bagi kes terbabit, kita menjalankan siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Victor berkata, sebagai langkah pencegahan, orang ramai dinasihatkan berwaspada semasa membuat sebarang pemindahan atau transaksi dalam talian ke akaun individu yang tidak dikenali.

"Sila semak akaun bank atau nombor telefon yang diragui melalui laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/.

"Sebarang nasihat atau maklumat lanjut boleh hubungi CCID Scam Response Center di talian 03-26101559," katanya.

Berita Harian X