Ahad, 12 Jun 2022 | 5:24pm

Tiga sahabat ke tali gantung

KOTA BHARU: Tiga sahabat dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini atas pertuduhan mengedar dadah berbahaya iaitu 134.6 gram Methamphetamine pada Mac 2018.

Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh menjatuhkan hukuman itu selepas ketiga-tiga tertuduh, Mohd Nazri Mohamed, 38; Mat Zainudin Mansor, 38; dan Ismail Jusoh, 47, gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pihak pendakwaan di akhir kes pembelaan.

Semua tertuduh didakwa mengedar 134.6 gram Methamphetamine kira-kira jam 2.30 petang di sebuah wakaf di tepi jalan kawasan sawah di Kampung Bendang Keladi, Tanah Merah pada 21 Mac 2018.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Aka Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah seksyen 39B(2) akta sama, yang dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman mati.

Wan Ahmad Farid dalam alasan penghakiman berkata, ketika serbuan dilakukan pihak polis, semua tertuduh berada di wakaf berkenaan dan melarikan diri.

Katanya, alasan tertuduh baru sampai di lokasi selain tidak tahu berkaitan barang kes tidak boleh diterima.

"Mahkamah menjatuhkan hukuman ini selepas mendapati keterangan semua tertuduh tidak boleh dipercayai," katanya.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Khairul Anuar Wahab dan semua tertuduh diwakili peguam.

Ketiga-tiga tertuduh turut dijatuhi hukuman penjara enam bulan atas dakwaan memiliki racun iaitu 9.2 gram Caffiene pada Mac 2018.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 9(1) Akta Racun 1952 yang boleh dihukum di bawah seksyen 32(2) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, mengikut pertuduhan pindaan, ketiga-tiga tertuduh dijatuhi hukuman penjara enam bulan atas pertuduhan masing-masing Ismail memiliki 0.30 gram, Mat Zainuddin memiliki 0.19 gram dan Mohd Nazri 0.20 gram dadah jenis Methamphetamine.

Mereka didakwa melakukan kesalahan di kawasan sawah Kampung Bendang Keladi, Tanah Merah jam 1.15 tengah hari pada 21 Mac 2018.

Semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara berjalan serentak dari tarikh tertuduh ditahan.

Tertuduh Mohd Nazri Mohamed, (kiri) Mat Zainudin Mansor (tengah) dan Ismail Jusoh (kanan) dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Kota Bharu atas kesalahan mengedar dadah. - NSTP/ NOR FAZLINA ABDUL RAHIM
Tertuduh Mohd Nazri Mohamed, (kiri) Mat Zainudin Mansor (tengah) dan Ismail Jusoh (kanan) dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Kota Bharu atas kesalahan mengedar dadah. - NSTP/ NOR FAZLINA ABDUL RAHIM
Berita Harian X